EVALUASI CRITICAL TERHADAP PELAKSANAAN KONFERENSI PMM

Rev. Fazli Samil (SRPCAA)


Gambar Kiasan

INTRODUCTION

Konferensi PMM kini menjadi salah satu budaya pelayanan yang dianjurkan setiap tahun. Sambutannya luar biasa, ruang ibadah penuh sesak. Lampu-lampu berkelip, musik bergema, dan semangat berkobar-kobar di kalangan anak muda. Semuanya terlihat seperti satu kebangkitan rohani yang meyakinkan masa depan cerah bagi gereja. Namun, persoalan yang menyentak di sini: ke manakah mereka pergi selepas konferensi itu selesai?

Ramai pemimpin gereja mengaku, peserta yang dulunya menangis di hadapan altar pada malam terakhir konferensi sudah mulai kembali kepada tabiat lama, malas datang ke gereja, suam-suam kuku, malah ada yang terjerumus dalam dosa yang lebih parah daripada sebelumnya. Semangat yang begitu membara selama tiga hari tiga malam di konferensi, seakan terbang begitu sahaja sebaik sahaja bas meninggalkan lokasi. Ibarat bunga api: meletup megah di langit malam, namun lenyap dalam sekelip mata.

Yang lebih menyedihkan, ada peserta yang pulang dengan pujian sebagai “pemimpin masa depan” akhirnya menjadi beban kepada pelayanan. Seorang pemudi, yang diberi peluang memimpin pujian kerana bakat dan semangatnya yang luar biasa selepas kembali dari konferensi, mungkinkah mengejutkan seluruh jemaat apabila diketahui mengandung di luar nikah, bertukar agama dsb. Apakah yang berlaku? Adakah konferensi gagal sepenuhnya, atau kita yang gagal memahami makna sebenar konferensi?

Kita tidak boleh sekadar berbangga dengan bilangan peserta atau view siaran langsung. Kita tidak boleh terus-menerus menipu diri bahawa “Tuhan sedang bekerja” hanya kerana suasana rohani yang emosional selama beberapa hari. Realiti pelayanan jauh lebih rumit daripada sekadar jeritan "Amin!" dan linangan air mata di malam penutupan itu.

Persoalan utama yang perlu diajukan dengan jujur ialah: apakah benar konferensi PMM memberi impak yang positif dalam kehidupan iman anak-anak muda kita? Atau sebenarnya kita sedang menghidangkan 'fast food' rohani yang sedap tapi tidak sihat?

Tulisan ini bertujuan untuk mengevaluasi secara objektif dan jujur terhadap impak positif dan negatif konferensi PMM, serta merumuskan tanggungjawab kepimpinan kawasan dan gereja lokal dalam memastikan benih yang ditabur tidak mati begitu sahaja, tetapi bertumbuh menjadi pohon iman yang kuat. Sudah tiba masanya kita keluar dari lingkaran rohani yang tidak menghasilkan pertumbuhan sejati, dan kembali kepada prinsip pemuridan yang konsisten, mendalam, Alkitabiah dan berorientasi kepada Kristus.

IMPAK POSITIF KONFERENSI PMM

Tidak adil sekiranya kita hanya menghukum pelaksanaan konferensi sebagai punca segala masalah dalam pelayanan generasi muda. Seperti ubat yang memberi kesan sampingan tetapi tetap berguna untuk menyelamatkan nyawa, begitu jugalah konferensi: bukan sempurna, tetapi tetap relevan dalam konteks zaman ini. Kita perlu mengakui bahawa konferensi memang mempunyai impak positif, terutama dalam mencetuskan semangat dan membuka ruang bagi pengenalan iman yang lebih segar.

1. Kebangkitan Rohani

Salah satu kesan yang paling jelas ialah kebangkitan rohani dalam kalangan peserta. Anak-anak muda yang selama ini lesu di bangku gereja, tiba-tiba berdiri dengan tangan terangkat, menyanyi dengan air mata, bahkan berani bersaksi di hadapan ratusan orang tentang perubahan hati mereka. Benarlah kata orang, suasana boleh mempengaruhi jiwa dan kadang-kadang, jiwa yang lama tertidur itu hanya memerlukan suasana yang tepat untuk kembali bangkit. Kita tidak menafikan kuasa Roh Kudus yang mampu bekerja melalui momentum seperti ini. Banyak PMM mula menyedari keberdosaan mereka, menangis dalam pertobatan, dan menyatakan kerinduan untuk hidup benar di hadapan Tuhan. Walaupun ada yang akan berkata, “Itu cuma emosi,” namun siapakah kita untuk meremehkan air mata yang mungkin lahir dari sentuhan ilahi?

2. Persekutuan Tubuh Kristus

Konferensi menyediakan satu ruang persekutuan yang luas. Anak-anak muda dari pelbagai gereja, daerah dan kampung dapat bertemu, berbual, berdoa dan beribadah bersama. Dalam dunia yang semakin individualistik kerana pengaruh postmodernisme dan sibuk dengan telefon bimbit masing-masing, konferensi menjadi tempat di mana pertemuan lebih penting daripada ‘scrolling’, dan gandingan tangan lebih bernilai daripada emoji. Di sinilah mereka menyedari bahawa iman Kristian tidak berjalan seorang diri. Mereka bukan hanya jemaat dari gereja kecil yang mungkin tidak cukup kewangan perbelanjaan di konferensi, tetapi mereka adalah sebahagian daripada tubuh Kristus yang hidup. Persekutuan ini seringkali menumbuhkan keyakinan bahawa mereka tidak bersendirian dalam perjuangan iman.

3. Menemukan Potensi Kepimpinan

Konferensi membuka peluang untuk menemukan dan mengasah potensi kepimpinan. Banyak pemuda-pemudi yang sebelumnya tidak pernah diberi peluang di gereja lokal, tetapi ketika berada di konferensi, diberi ruang untuk menyanyi, bersaksi, atau bahkan memimpin doa. Mereka mula menyedari bahawa mereka memiliki panggilan dan karunia yang Tuhan titipkan, bakat-bakat seperti ini lebih cepat dikesan oleh penganjur konferensi berbanding guru sekolah minggu atau ketua pemuda di gereja lokal. Maka tidak hairan kalau ada yang pulang dari konferensi dengan identiti baru: dari “budak pemalu” menjadi “pemimpin pujian,” dan dari “remaja yang tidak aktif” menjadi “ketua unit pelayanan”.

4. Inspirasi dalam Pelayanan

Konferensi sering kali menjadi pemicu semangat untuk terlibat dalam pelayanan. Suasana yang penuh semangat, sesi-sesi motivasi, dan teladan para pemimpin rohani, memberikan inspirasi kepada peserta untuk mulai melayani. Ada yang balik lalu mendaftarkan diri sebagai pemain muzik, multimedia, guru sekolah minggu atau bahkan terlibat dalam misi gereja. Walaupun semangat itu kadangkala tidak bertahan lama (seperti diet yang hanya bertahan seminggu), namun setidaknya ada sebuah kesedaran yang tertanam. 

Saya berpendapat, impak positif ini bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh. Namun, kita juga tidak boleh menutup mata terhadap realiti sebenar bahawa api yang menyala tanpa dikawal boleh mengakibatkan kebakaran. Oleh itu, kita perlu melihat sisi lain dari sudut ini, iaitu impak negatif konferensi.

IMPAK NEGATIF KONFERENSI PMM

Jika ada sesuatu yang lebih berbahaya daripada api yang telah padam, itu adalah api yang menyala tanpa arah dan terkawal. Konferensi pemuda-pemudi, walaupun kelihatan berjaya dalam penganjuran, dan dapat dilihat dari segi kehadiran dan suasana, tetap berisiko menghasilkan kesan sampingan yang besar jika tidak dikendalikan dengan bijaksana. Tidak semua yang bertepuk tangan itu faham erti pengorbanan. Tidak semua yang menangis dalam penyembahan itu bersedia memikul salib. Maka kita perlu menilai impak negatif ini dengan jujur, bukan untuk menjatuhkan sesiapa, tetapi supaya kita tidak terus mengulang kesilapan yang sama tahun demi tahun sambil bertanya-tanya, “kenapa anak-anak muda makin sedikit?”

1. Emosionalisme 

Salah satu bahaya paling besar ialah emosionalisme. Ramai peserta pulang dari konferensi dengan hati yang terbakar, tetapi sayangnya, bukan terbakar oleh firman, melainkan oleh suasana, muzik yang menyentuh, video yang menyayat hati, dan kata-kata retorika yang penuh semangat. Namun, api itu cepat padam apabila tiada dasar pengajaran yang kuat. Ibarat membakar rumput kering: menyala sekejap, habis secepat itu. Apabila perasaan dijadikan ukuran utama kehadiran Roh Kudus, maka iman anak muda menjadi rapuh. Bila perasaan naik, mereka semangat. Bila perasaan turun, pelayanan pun berhenti. Akhirnya gereja lokal terpaksa menjadi 'pemadam kebakaran' setiap kali ada yang kecewa atau hilang arah. Ini bukan rohani; ini rohani yang rosak.

2. Kurangnya follow up yang Terancang

Masalah kedua ialah ketiadaan follow up yang jelas. Konferensi sering menjadi acara “one-off” yang megah, tetapi selepas itu senyap sunyi seperti tapak bazar Ramadan sebaik Syawal tiba. Peserta pulang tanpa arah, dan pemimpin gereja tempatan pula tidak diberi data, panduan atau pelan susulan. Akhirnya, benih yang baru ditabur terbiar tanpa di siram. Jika kita betul-betul mahu melihat pertumbuhan, maka konferensi bukanlah penamat, ia baru permulaan. Tanpa sistem pemuridan yang menyusul selepas itu, semua janji dan komitmen hanyalah seperti “azam tahun baru”, bersemangat di awal Januari, dilupakan menjelang Februari.

3. Persepsi yang Salah tentang Pelayanan

Ramai peserta pulang dari konferensi dengan persepsi yang salah tentang pelayanan. Mereka fikir pelayanan ialah tentang berdiri di atas pentas, memegang mikrofon, menyanyi di hadapan ramai orang, atau viral di media sosial. Mereka terlupa bahawa pelayanan adalah tentang kesetiaan, pengorbanan, disiplin, dan kerendahan hati. Mereka mahu populariti, tetapi tidak bersedia mencuci tandas gereja. Mereka mahu jadi worship leader, tapi tidak tahan ditegur. Konferensi yang terlalu menonjolkan penampilan dan pentas tanpa menekankan karakter akan melahirkan generasi “pelayan selebriti”, gemar dengan muzik dan spotlight, tapi lari bila diminta menyapu lantai gereja.

4. Gagal Secara Moral setelah konferensi

Salah satu realiti yang paling menyedihkan ialah kegagalan moral yang berlaku selepas konferensi. Ada yang balik dengan semangat rohani, tetapi beberapa bulan kemudian terjerumus dalam dosa yang mencemarkan kesaksian. mungkin kes yang pernah berlaku di tempat anda: seorang yang berpotensi besar, pulang dari konferensi dengan semangat luar biasa, mula terlibat dalam pelayanan, namun tidak lama kemudian hidup makin liar. persoalannya: dimana kelemahan sistem ini sehingga bakat bertukar menjadi bencana? Realitinya, konferensi hanya menyentuh permukaan, emosi, semangat, tetapi asas peribadi tidak pernah dicangkul. Maka masalah lama tetap hidup diam-diam, menunggu masa untuk meletup. Tanpa pemuridan yang berterusan, peserta hanya tahu menyanyi “Yesus kekuatanku”, tapi tidak tahu bagaimana melawan godaan yang datang.

5. Kelemahan Penganjur dalam Merancang Konferensi

Kita tidak boleh menutup mata terhadap kelemahan daripada pihak penganjur sendiri. Antara isu yang sering kali berlaku:

Fokus Yang Berlebihan Pada Hiburan: Sesetengah konferensi lebih kelihatan seperti konsert daripada perhimpunan rohani. Fokus utama bukan lagi firman Tuhan, tetapi suasana. Jika PMM lebih ingat warna lampu berbanding isi khutbah, maka kita perlu bertanya: adakah ini acara rohani, atau hanya produk bunyi dan cahaya?

Pengajaran Yang Tidak Memadai: Sesi pengajaran terlalu ringkas atau disampaikan dengan gaya motivasi semata-mata. Firman Tuhan jadi ‘background music’, bukan pusat perhatian. Akhirnya, peserta pulang dengan semangat, tetapi tidak mempunyai doktrin yang kuat untuk menghadapi realiti kehidupan mereka.

Tiada follow up: Konferensi hanya berlangsung beberapa hari, tetapi tiada rancangan jangka panjang. Modul follow up tidak disiapkan, mentor tidak dilantik, bahkan catatan peserta pun hilang. Akhirnya, semuanya jadi acara bermusim, bukan proses transformasi yang sejati.

Pemilihan Pengkhutbah dan Penceramah yang Tidak Bijaksana: Kadangkala penceramah dipilih bukan berdasarkan pemahaman teologi benar, tetapi atas dasar populariti dan bilangan pengikut di media sosial. Yang penting boleh buat orang ketawa, menangis, dan bertepuk tangan, walaupun isi khutbah hanya tinggal bayang-bayang.

Kurangnya Pengawasan, disiplin dan Etika Pelaksanaan: Isu seperti interaksi bebas antara peserta lelaki dan perempuan tanpa pengawasan, sesi malam yang terlalu bebas, dan kurangnya penjagaan rohani yang bertanggungjawab. Ke mana hilangnya pengembalaan dalam acara ini?

Mewujudkan “Selebriti Rohani”: Konferensi kadangkala mencipta tokoh-tokoh muda yang dipuja secara tidak sihat. Gambar mereka jadi poster, status mereka jadi bahan pujian. Bahaya besar muncul apabila mereka sendiri mula percaya bahawa mereka tak perlu ditegur. Inilah resepi kejatuhan yang telah berkali-kali berlaku dalam sejarah gereja.

Kesimpulannya, impak negatif konferensi bukanlah sesuatu yang remeh. Ia bukan soal menyalahkan penganjur atau peserta, tetapi satu panggilan untuk kembali kepada asas pelayanan yang sejati, yang tidak dibina di atas populariti atau emosi sementara, tetapi pada Kristus yang kekal dan FirmanNya yang hidup.

PERANAN KEPIMPINAN PMM KAWASAN

Dalam dunia pertanian, benih yang baik memerlukan tanah yang subur, tetapi juga tangan petani yang tekun. Begitu juga dalam pelayanan anak muda: konferensi hanyalah “benih”, tetapi tanpa pemuridan dan penjagaan dari pihak kepimpinan kawasan maka benih itu akan kering, terhimpit semak, atau dimakan burung. Kadangkala kita menyalahkan anak muda kerana ‘lemah rohani’, padahal mereka sebenarnya ‘dibiar lapar’ selepas diberi hidangan rohani separuh masak di konferensi.

Kepimpinan kawasan bukan hanya pemegang jawatan, tetapi sepatutnya menjadi “arkitek rohani” yang merancang, mengawal dan mendampingi proses pertumbuhan generasi muda di gereja lokal setempat dalam kawasan. Kalau hanya tahu menganjur konferensi dan kemudian hilang entah ke mana, lebih baik jadi penganjur konsert saja. Berikut adalah peranan penting yang seharusnya dimainkan oleh kepimpinan kawasan:

1. Menyediakan Sistem Follow up yang terancang.

Tidak cukup sekadar bertanya, “Ramai kah yang datang persekutuan PMM di gereja tadi?” mungkin soalan yang lebih penting adalah, “Apa yang jadi kepada mereka selepas balik?” Kepimpinan kawasan bertanggungjawab membangun sistem follow up yang terstruktur, sama ada dalam bentuk kelompok pemuridan, kelas pengajaran, atau melatih mentor di setiap sidang. Konferensi tanpa sistem susulan adalah seperti melepaskan anak ayam ke tengah jalan dan berharap mereka selamat pulang ke kandang sendiri. Kita perlu merancang dengan cermat siapa yang akan menjaga, siapa yang akan mendampingi, dan apa yang perlu diajarkan.

2. Melatih Mentor dan Pemimpin Muda

Kepimpinan kawasan juga harus melatih barisan mentor, bukan sekadar mencari penceramah viral. Mentor yang sejati bukan hanya pandai bercakap di depan, tetapi rela berjalan bersama, mendengar keluhan, memberi nasihat, dan menjadi tempat berteduh bagi anak-anak muda. Pemimpin kawasan yang bijak tidak takut memberi ruang kepada pemimpin muda yang sedang bertumbuh. Tapi sayangnya, di sesetengah tempat, pemimpin muda lebih dilihat sebagai ancaman. Seolah-olah jawatan itu seperti kerusi empuk di parlimen, bila sudah duduk, susah pula mahu bangun. Padahal kepimpinan adalah ladang pewarisan, bukan takhta kekuasaan.

3. Komunikasi dengan Gereja Lokal

Hubungan antara kepimpinan kawasan dan gereja lokal harus seperti tangan kanan dan kiri, berfungsi serentak, bukan bersilang arah. Kepimpinan kawasan perlu memastikan bahawa setiap peserta konferensi disalurkan kepada gereja masing-masing untuk pemuridan lanjut. Terlalu banyak kes di mana peserta pulang dengan api, tetapi gereja lokal tidak tahu menahu tentang apa yang berlaku di konferensi. Akhirnya api itu mati, dan gereja menyalahkan penganjur konferensi, manakala kawasan pula menyalahkan gereja. Sudah-sudahlah, mari berhenti bermain "bola sepak" yang suka pasing-pasing masalah dan kesalahan, mulalah bermain dalam satu pasukan!

4. Awasi Moral dan Ajaran

Akhir sekali, moral dan ajaran (teologi) harus menjadi keutamaan. Pemimpin kawasan tidak boleh berdiam diri apabila melihat ketidakwajaran berlaku, sama ada dalam pengajaran yang menyimpang atau kelakuan dan pemimpin yang tidak beretika. Kalau penceramah mengajarkan “kemakmuran” lebih daripada Injil Kristus, atau peserta mula bergaul bebas seperti di pesta kaamatan, maka kepimpinan kawasan perlu bertindak, bukan hanya berkata, “Itu urusan gereja lokal.” Kerohanian anak-anak muda adalah tanggungjawab kolektif, dan kawasan sebagai badan penghubung perlu menjadi penjaga pagar, bukan penjaga imej.

Jadi, Peranan kepimpinan kawasan bukanlah sekadar mengelola acara tahunan yang gah dan meriah, tetapi membangun ekosistem rohani yang terancang. Jika kawasan hanya sibuk merancang konferensi tetapi tidak peduli akan jiwa-jiwa PMM, maka kita tidak lebih dari sekumpulan ‘penjual ubat di tamu Inanam: suara kuat, produk palsu’, yang akhirnya melahirkan kekecewaan dan keletihan di kalangan muda-mudi.

PERANAN GEREJA LOKAL

Setiap anak muda yang pulang dari konferensi dengan mata berkaca-kaca dan semangat membara akan kembali ke satu tempat: gereja lokal. Di sinilah lapangan sebenar pertumbuhan itu berlaku, bukan di pentas acara besar atau dalam sorakan ribuan orang, tetapi dalam keheningan doa harian, persekutuan tubuh Kristus, dan pembentukan karakter dalam komuniti. Masalahnya, banyak gereja lokal tidak bersedia menyambut mereka yang berubah, malah ada yang kelihatan panik bila anak muda tiba-tiba bersemangat melampau: “Kenapa dia rajin sudah datang gereja sekarang?” Seolah-olah kebangunan rohani dianggap penyakit berjangkit yang harus dikuarintin. Inilah masanya gereja lokal bangkit memainkan peranan, bukan sekadar menjadi “lapangan transit” bagi jemaat, tetapi rumah pemuridan yang sejati.

1. Membentuk Komuniti Pemurid

Gereja bukan sekadar tempat berkumpul, tetapi seharusnya menjadi komuniti pemuridan yang hidup. Anak-anak muda yang baru pulang dari konferensi ibarat bara api yang sedang menyala, tetapi tanpa persekitaran yang tepat, bara itu boleh padam perlahan-lahan. Di sinilah pentingnya kelompok kecil, pertemuan mingguan, bimbingan peribadi yang memberi ruang kepada mereka untuk bertumbuh secara konsisten. Kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan struktur program sehingga lupa bahawa pemuridan bukan tentang jadual, tetapi tentang komunikasi. Pemuridan tidak terjadi di mimbar hari ahad sekitar 1 jam, tetapi dalam kehidupan yang saling membangun setiap hari.

2. Memberi kesempatan dan bimbingan Pelayanan

Sering kali anak muda yang kembali dari konferensi membawa impian besar: mahu melayani, mahu memimpin pujian, mahu berkhutbah, mahu jadi "Billy Graham". Tapi sayangnya, sebahagian gereja melihat mereka sebagai terlalu hijau, terlalu emosional, atau belum cukup matang. Lalu mereka disuruh tunggu, dan tunggu… sampai akhirnya api mereka padam dan mereka menyimpulkan, “Gereja tak perlukan saya.” Gereja lokal perlu memberi kesempatan yang bijaksana: bukan membiarkan anak muda melakukan apa saja, tetapi membimbing mereka dalam pelayanan secara aktif. Pemimpin gereja harus menjadi pembina, bukan penghalang. Jangan takut anak muda lebih menonjol daripada kita; kalau Yesus sendiri membasuh kaki murid-Nya, mengapa kita takut membimbing generasi berikut?

3. Pelayanan Pastoral ketika mereka jatuh

Tidak semua anak muda akan terus berjaya selepas konferensi. Ada yang jatuh, ada yang tersandung, bahkan ada yang gagal secara terang-terangan. Kes seperti mengandung luar nikah, kecanduan, atau hubungan toksik bukan perkara yang baru. Tapi di sinilah gereja perlu menunjukkan kasih dan kebenaran, bukan dengan menghukum membuta buta, dan juga bukan dengan membiarkan tanpa teguran. Pendekatan yang seimbang amat penting: teguran yang penuh kasih, dan pemulihan yang terarah. Jangan biarkan gereja menjadi “hakim rohani” yang hanya tahu menghukum ketika seseorang jatuh, tetapi jadilah “rumah sakit rohani” yang menerima, merawat dan membimbing kembali mereka kepada Kristus.

4. Kerjasama dengan Pihak Kawasan

Gereja lokal perlu belajar bekerjasama dengan kepimpinan kawasan. Jangan biarkan tembok organisasi memisahkan misi tubuh Kristus. Kalau kawasan telah membuka pintu api kebangunan melalui konferensi, maka gereja perlu menyediakan “perapian rohani” yang meneruskan nyala itu. Ada gereja yang terlalu lokalistik, seakan-akan berkata, “Itu kerja orang luar, bukan urusan kami.” Tapi ingatlah, anak-anak muda itu adalah anggota tubuh Kristus, bukan harta gereja tertentu. 


***

Gereja lokal adalah tempat di mana perubahan yang sementara (emosi) boleh bertukar kekal. Tanpa gereja yang terbuka, membimbing dan membentuk, maka konferensi hanya akan menjadi kenangan tahunan, bukan momen transformasi. Sudah tiba masanya gereja lokal melihat anak muda bukan sebagai masalah atau beban, tetapi sebagai pelaburan jangka panjang untuk kemuliaan Tuhan.

Jangan sampai kita dikenang oleh anak muda sebagai “gereja yang pernah mereka hadiri sebelum mereka patah semangat”. Jadilah gereja yang mereka kenang sebagai “rumah tempat mereka dibangkitkan kembali selepas jatuh”.

***

Comments

  1. Shalom, simpati dengan keadaan jemaah muda-mudi khususnya di gereja kamu. Semoga penulisan ini memberi kesedaran kepada anak-anak muda dan pemimpin di gereja Reformed Prebysterian di Kota Kinabalu untuk mengelola konferensi sesuai saranan dalam penulisan ini.

    ReplyDelete
    Replies
    1. shalom, terima kasih kerana telah meninggalkan komen diruangan ini. situasi dalam penulisan ini tidak mengarah kepada Gereja Reformed Presbyterian yang masih dalam proses perintisan di kota Kinabalu, bahkan kami belum pernah menganjurkan konferensi. penulisan ini bertujuan mengevaluasi konferensi yang di anjurkan oleh gereja kontemporer.

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog

UNDUK NGADAU (HUMINODUN), PANDANGAN DAN SIKAP KRISTIAN

GEMBALA DAN MAJLIS GEREJA SALING MENGGIGIT?