GEMBALA DAN MAJLIS GEREJA SALING MENGGIGIT?

Penulis: Rev. Fazli Samil

Sabah Reformed Presbyterian Church Amanat Agung, Kota Kinabalu

Pendahuluan

Terdapat satu isu yang semakin menyerlah namun jarang dibincangkan secara terbuka: ketegangan antara gembala dan majlis gereja. Walaupun pada dasarnya kedua-dua pihak ini sepatutnya bekerjasama dalam semangat melayani demi pertumbuhan dan kemajuan gereja, realitinya hubungan tersebut tidak selalu berjalan dengan harmoni. Dalam banyak situasi, gembala dan majlis gereja terjebak dalam perebutan kuasa, perbezaan visi, serta konflik yang timbul akibat kekeliruan terhadap peranan masing-masing. Fenomena ini boleh digambarkan melalui ungkapan yang sinis tetapi tepat: gembala dan majlis gereja saling menggigit. Isu ini tercetus bukan kerana perbezaan personaliti atau gaya kepimpinan yang tidak sama. Sebaliknya, ia berkait rapat dengan persoalan teologi yang lebih mendasar, contohnya: Pemahaman yang memadai tentang struktur gereja, prinsip-prinsip kepimpinan rohani, dan prinsip pelaksanaan kuasa serta sikap bertanggungjawab dalam pelayanan. 

Dalam konteks inilah, penulis terdorong untuk mengupas secara kritis dinamika konflik antara gembala dan majlis gereja, serta mengambil kira realiti gereja masa kini (kontemporer). Penulis juga akan meneliti penyebab permasalahan, mengenal pasti bentuk-bentuk ketegangan yang sering berlaku, dan akhirnya menawarkan cadangan pemulihan yang bersifat praktikal dengan prinsip alkitabiah. Diharapkan penulisan ini mampu menjadi ruang refleksi, penghiburan, hikmat dan kekuatan kepada para gembala (teman-teman penulis di sana). 

Konflik antara Gembala dan Majlis Gereja

Hubungan antara gembala dan majlis gereja seharusnya menjadi satu bentuk kerjasama yang harmoni, berlandaskan panggilan bersama untuk menggembalakan umat Allah. Namun begitu, dalam realiti gereja masa kini, kita sering menyaksikan bagaimana hubungan ini berubah menjadi medan peperangan yang merusak kesaksian tubuh Kristus. Konflik antara gembala dan majlis gereja berlaku dalam pelbagai bentuk dan selalunya bermula daripada salah faham mengenai peranan masing-masing, perbezaan perspektif teologi, serta sikap mendominasi dalam struktur organisasi gereja. Beberapa jenis konflik utama akan dihuraikan secara terperinci.

1. Salah Faham Terhadap Peranan dan Fungsi

Salah satu punca utama berlakunya konflik adalah ketidaksefahaman terhadap skop dan batas peranan masing-masing. Gembala sering memahami dirinya sebagai pemimpin rohani utama yang menerima visi daripada Tuhan untuk digerakkan dalam gereja. Sebaliknya, majlis gereja melihat diri mereka sebagai pemegang amanah atau “penjaga gereja” yang bertanggungjawab memastikan semua urusan berjalan dengan tertib dan mengikut landasan peraturan gerejawi. ada juga majlis gereja yang suka berada diatas gembala lalu memberi arahan sesuka hati. Dari aspek lain, apabila visi gembala tidak selari dengan pertimbangan atau keutamaan majlis, maka konflik akan mudah berlaku - terutama jika tiada komunikasi terbuka dan sikap saling menghormati.

2. Konflik Visi dan Arah Pelayanan

Gembala sering membawa visi yang dinamik dan berorientasikan pertumbuhan serta pembaharuan dalam pelayanan gereja. Walau bagaimanapun, majlis gereja kadang-kala bersikap lebih konservatif, berhati-hati, dan cenderung mempertahankan status quo (peraturan lama meskipun sudah tidak relevan). Apabila visi pelayanan tidak difahami bersama atau tidak dikongsi dalam semangat kebersamaan, maka ketegangan boleh muncul yang akhirnya menjejaskan prestasi kepimpinan dan pelayanan. Perbezaan ini bukan sekadar berbeza pendapat biasa, tetapi mencerminkan perbezaan falsafah kepimpinan, antara pendekatan karismatik yang dipelopori oleh gembala dan pendekatan pengurusan institusi yang dipegang oleh majlis. Tanpa komunikasi yang matang dan kerendahan hati untuk saling mendengar, hubungan ini akan terus dilanda konflik yang menyedihkan.

3. Isu Kuasa dan Pengaruh

Isu kuasa merupakan salah satu elemen paling sensitif dalam konflik antara gembala dan majlis. Ada gembala yang melihat dirinya sebagai pemimpin utama yang harus diberi kuasa penuh, manakala ada majlis gereja yang merasakan gembala sudah melebihi mandat yang diberikan. Dalam sesetengah kes, gembala mula mengambil alih semua keputusan-keputusan penting dan menjadikan majlis sekadar “rubber stamp” yang tidak berfungsi secara bebas. Dalam kes yang lain pula, majlis menjadi terlalu dominan sehingga segala urusan gereja terperangkap dalam birokrasi yang panjang dan membantutkan gerakan pelayanan. Segala kuasa dalam gereja sepatutnya tunduk kepada Kristus sebagai Kepala Gereja (Kolose 1:18). Kuasa pemimpin bukan bersifat mutlak atau autoritatif secara individu, tetapi harus dilihat berdasarkan tanggungjawab sebagai wakil Kristus untuk menggembalakan umat-Nya dengan rendah hati dan setia. Maka, setiap bentuk dominasi, sama ada oleh gembala mahupun majlis gereja, adalah suatu penyimpangan model pelayanan yang alkitabiah!

4. Kepimpinan yang Lemah dan Tidak Jelas

Dalam sesetengah konteks, konflik berlaku bukan kerana perebutan kuasa semata-mata, tetapi disebabkan oleh ketiadaan kepimpinan yang kuat dan jelas. Gembala mungkin tidak cukup proaktif dalam memimpin, manakala majlis pula tidak berfungsi secara efektif dalam menyokong dan menyelia pelayanan. Situasi seperti ini menyebabkan kekosongan arah pelayanan, ketidaktentuan dalam pembuatan keputusan, dan seterusnya menimbulkan keraguan dalam kalangan jemaat terhadap barisan kepimpinan gereja. Kepimpinan yang lemah dan kabur membuka ruang kepada penyebaran gosip, manipulasi kuasa oleh individu tertentu, dan akhirnya membawa kepada pembentukan “kem-kem” (perkauman) dalam kalangan anggota gereja serta kepimpinan itu sendiri.

5. Kesan Emosi dan Luka Rohani

Konflik antara gembala dan majlis bukan sahaja memberi kesan kepada struktur organisasi, tetapi juga mendatangkan luka emosi dan rohani yang menyakitkan. Gembala yang tidak mendapat sokongan akan mudah merasa kecewa, terasing, dan terbeban secara berlebihan. Sebaliknya, majlis gereja yang merasa tidak dihargai pula boleh hilang semangat melayani dan mula mempersoalkan keabsahan kepimpinan pastoral. Kesan jangka panjang daripada luka-luka ini termasuklah perpecahan, pengunduran diri daripada pelayanan, dan dalam kes yang lebih serius, kehancuran struktur pelayanan yang telah dibina dengan susah payah. 

Isu Teologi Menjadi Punca Konflik Antara Gembala dan Majlis

Dalam konteks gereja masa kini, konflik antara gembala dan majlis gereja bukan saja berpunca daripada hal-hal pentadbiran atau isu peribadi, tapi lebih dalam lagi hal itu berakar dari persoalan teologi yang tidak jelas. Teologi merupakan asas utama kepada pemahaman seseorang tentang Kepimpinan, tanggungjawab, kuasa, dan peranan dalam tubuh Kristus, sudah semestinya teologi yang tepat dan berpandukan Alkitab.

1. Teologi Panggilan yang Tidak Jelas

Salah satu isu mendasar ialah ketidakjelasan tentang 'konsep panggilan pelayanan.' Selalunya, gembala dianggap sebagai satu-satunya individu yang dipanggil secara langsung oleh Tuhan, manakala majlis (penatua atau diaken) dilihat hanya sebagai individu yang dilantik melalui persidangan. Pandangan sebegini menimbulkan perbezaan tahap "kerohanian" yang tidak selari dengan ajaran Firman Tuhan. Dalam Efesus 4:11-12, Rasul Paulus menyatakan bahawa Kristus telah memberikan pelbagai karunia pelayanan, termasuk penginjil, gembala, dan guru, untuk memperlengkapi orang-orang kudus bagi pekerjaan pelayanan. Oleh itu, anggota majlis gereja juga adalah orang yang menerima panggilan Tuhan melalui gereja untuk melayani, bukan semata-mata berfungsi secara organisasi. Bila peranan gembala dilihat lebih tinggi secara rohani, ia boleh menimbulkan ketegangan dengan pihak majlis yang lain dan akhirnya mereka merasa terpinggir dari proses kepimpinan rohani. Hal ini akan merosakkan keharmonian pelayanan dan membuka ruang kepada kepimpinan yang berat sebelah.

2. Kepimpinan Kolektif yang Diketepikan

Dalam tradisi gereja abad pertengahan, gereja dipimpin secara kolektif oleh presbiteri (Para Penatua)—Penatua Pengajar dan pemelihara (Gembala) dan penatua pentadbir (bukan gembala) namun sama-sama memimpin dan menjaga kawanan Tuhan (Kisah Para Rasul 20:28; 1 Petrus 5:2-3). Tapi dalam realiti sesetengah gereja moden hari ini, model ini telah digantikan dengan pendekatan yang lebih individualistik, di mana gembala menjadi tokoh dominan yang menguasai semua keputusan. Dalam kes yang lain pula, majlis gereja terlalu dominan hingga suara gembala tidak diberi ruang. Kedua-dua bentuk ekstrem ini telah menyimpang dari prinsip kepimpinan gereja yang alkitabiah, iaitu kepimpinan secara bersama. Tanpa pemahaman teologi yang kukuh tentang kepimpinan kolektif, gereja akan mengalami ketidakseimbangan kuasa yang akhirnya mengundang konflik internal.

3. Salah Tafsir terhadap Kuasa Rohani

Kekuasaan atau otoriti dalam gereja bukanlah sesuatu yang dimiliki secara peribadi, tetapi adalah amanah yang diberikan oleh Kristus sebagai Kepala Gereja (Kolose 1:18). Namun dalam sesetengah budaya gereja, kuasa ini telah disalahfahami, di mana gembala mula menggunakan kedudukannya untuk menguasai secara mutlak, sementara majlis gereja hanya melihat tanggungjawab mereka dari sudut pentadbiran semata-mata. Pada dasarnya semua pemimpin gereja adalah hamba Tuhan, bukannya penguasa (Matius 20:25-28). Kalau gembala dan majlis gagal memahami hal ini, maka sebab itulah timbul perebutan kuasa dalam gereja. 

4. Kurangnya Diskusi Mengenai Konflik 

Gereja kadang-kadang cenderung menghindari perbincangan tentang konflik, bahkan menganggapnya sebagai sesuatu yang memalukan atau tanda kegagalan rohani. Namun, Alkitab memberikan prinsip yang jelas tentang cara menangani konflik (Matius 18:15-17; Galatia 6:1). Konflik bukanlah musuh gereja, sebaliknya merupakan peluang untuk pertumbuhan dan pemurnian tubuh Kristus. Kalau gereja kekurangan pemahaman teologi tentang konflik, maka setiap pertikaian antara gembala dan majlis akan menjadi luka menyakitkan yang berlarutan dan akhirnya mencemarkan kesaksian gereja di mata jemaat dan masyarakat luar.

5. Pemisahan yang Tidak Sihat antara Fungsi Rohani dan Pentadbiran

Salah satu kecenderungan yang wujud dalam gereja moden ialah memisahkan secara tegas antara tugas “rohani” (gembala) dan tugas “organisasi” (majlis). Dalam situasi tertentu, gembala dianggap sebagai pembawa visi dan suara kenabian, manakala majlis hanya berfungsi sebagai penjaga bajet atau penentu hal-hal teknikal. Walaupun kelihatan praktikal, pemisahan ini secara teologi tidak mencerminkan prinsip kepimpinan gereja yang seimbang dan saling melengkapi. Model pelayanan dalam Kisah Para Rasul memperlihatkan bahawa para pemimpin gereja bertanggungjawab secara menyeluruh; mengajar, mengarahkan, melayani, dan menjaga jemaat (Kisah 6:1-6). Maka, pemisahan peranan yang terlalu kaku sebenarnya mengehadkan potensi pelayanan bersama dalam membangun gereja secara holistik.

Penulis berpendapat Isu-isu teologi yang dibincangkan dalam bahagian ini membuktikan bahawa konflik antara gembala dan majlis bukan semata-mata soal pengurusan atau isu peribadi, tapi berpunca daripada ketidakjelasan dalam pemahaman teologi yang bersumberkan Alkitab. Tanpa fondasi teologi yang kuat, kepimpinan gereja akan terus berada dalam keadaan rapuh dan terdedah kepada krisis dalaman (internal). Maka itu, pemulihan hubungan gembala dan majlis mesti bermula dengan doktrin dan pembentukan teologi yang seimbang tentang pelayanan, kuasa, dan peranan dalam tubuh Kristus.

Cadangan Pemulihan Hubungan Antara Gembala dan Majlis

Bagi menangani ketidakseimbangan yang telah dihuraikan oleh penulis sebelum ini, beberapa langkah praktikal perlu diambil bagi memulihkan hubungan antara gembala dan majlis gereja secara efektif dan berakar dalam prinsip-prinsip Alkitabiah:

1. Pemulihan Pemahaman Teologi yang Tepat
Gereja harus kembali kepada asas kepimpinan secara kolektif serta tanggungjawab bersama dalam tubuh Kristus. Baik gembala mahupun majlis harus diperlengkapi dengan pemahaman yang jelas tentang peranan dan tugas masing-masing sebagaimana yang diajarkan dalam Alkitab, bukan sekadar mengikut budaya atau tradisi tempatan yang mungkin tidak selaras dengan prinsip firman Tuhan. Hal ini termasuk penghayatan terhadap konsep Missio Dei, iaitu misi Allah yang dilaksanakan oleh gereja secara bersama dalam semangat kesatuan.

2. Membangun Dialog yang Terbuka dan Jujur
Gereja perlu menyediakan ruang yang selesa, selamat dan membina untuk perbincangan antara gembala dan majlis berkaitan peranan, tanggungjawab, dan isu-isu pelayanan yang sedang dihadapi. Dialog yang terbuka, telus, dan jujur akan menjadi saluran yang efektif untuk menyelesaikan salah faham antara sesama, mengurangkan ketegangan, serta memupuk persefahaman yang baik. 

3. Pemimpin yang Mengamalkan Kepimpinan Berjiwa Pelayan
Setiap pemimpin dalam gereja, baik gembala mahupun majlis gereja, harus menghidupi semangat kepimpinan seperti yang ditunjukkan oleh Kristus, iaitu kepimpinan yang bersifat melayani, merendahkan diri, dan penuh kasih. Akhirnya Kepimpinan dilaksanakan bukan untuk menguasai tetapi untuk melayani, maka gereja akan dibebaskan daripada budaya perebutan kuasa.

4. Pengajaran yang Konsisten tentang Peranan dan Fungsi Gereja
Pendidikan gereja yang berterusan dan seimbang perlu diberikan, terutama tentang struktur gereja, peranan setiap jawatan kepimpinan, serta bagaimana hubungan yang seharusnya wujud antara gembala dan majlis yang lain. Dengan pengajaran yang baik dan berasaskan firman Tuhan, baik pemimpin mahupun jemaat akan lebih memahami kedudukan masing-masing dalam tubuh Kristus, sekaligus mendorong semangat kerjasama dan menurunkan konflik yang tidak perlu.

***Oleh yang demikian, gereja harus kembali kepada asas teologi yang benar, menekankan semangat pelayanan bersama, serta memberi penghargaan yang sewajarnya terhadap setiap peranan dalam tubuh Kristus.***


Soli Deo Gloria !

Comments

Popular posts from this blog

EVALUASI CRITICAL TERHADAP PELAKSANAAN KONFERENSI PMM

UNDUK NGADAU (HUMINODUN), PANDANGAN DAN SIKAP KRISTIAN