KHUTBAH PERTAMA GEREJA MULA-MULA (KPR 2: 14-40)

Rev. Fazli Samil (SRPCAA)

Gambar Kiasan

Khutbah pertama gereja adalah gambaran tentang bagaimana Injil sepatutnya diberitakan, iaitu dengan keberanian, dengan kebenaran, dan dengan kuasa Roh Kudus. Petrus tidak berkhutbah untuk menyenangkan hati pendengarnya, dia tidak memikat orang dengan gaya retorika atau ucapan yang manis belaka. Sebaliknya, dia berdiri dan menyatakan dengan suara keras bahawa Yesus yang mereka tolak, yang mereka salibkan, adalah Tuhan dan Mesias. 

Dalam dunia sekarang, jenis khutbah sebegini mungkin dianggap terlalu kasar, terlalu tajam, atau ada yang beranggapan tidak sesuai dengan gereja kita. Tetapi dalam Alkitab, inilah jenis khutbah yang menghasilkan pertobatan sejati. Petrus tidak takut berkata, "Kamulah yang membunuh Dia." Dia tidak takut menyatakan dosa, kerana dia tahu Injil hanya bererti apabila manusia menyedari bahawa mereka benar-benar adalah orang berdosa.

Inilah gambaran tentang seorang pemberita Injil yang dipakai oleh Roh Kudus. Kita tidak diselamatkan oleh perasaan, oleh pengalaman, atau oleh suasana emosi yang dibuat-buat. Kita diselamatkan ketika kita mendengar Firman, dan Roh Kudus membuka mata dan hati kita untuk melihat kebenaran. Kita telah memberontak terhadap Allah, kita perlu bertobat, dan hanya Yesus yang boleh menyelamatkan kita. Inilah sebabnya khutbah Petrus begitu tegas. Ia bukan hanya memberikan informasi seperti berita TV1, tetapi mengubah hidup kita. Ia bukan hanya menyentuh hati, tetapi menusuk hati, hal Itu hanya mungkin kerana Roh Kudus bekerja melalui Firman yang hidup. Sebab itu, dalam teologi reformed, kita percaya bahawa kuasa pertobatan bukan datang dari gaya khutbah menarik, tetapi dari kebenaran yang disampaikan dan Roh Kudus yang menginsafkan.

Lebih menarik lagi, khutbah ini tidak berakhir dengan emosi, tetapi dengan tindakan. murid-murid patut marah kerana mereka dituduh sebagai orang mabuk, tapi yang mereka tunjukkan adalah kasih. Orang ramai bertanya, “Apa yang harus kami buat?” dan Petrus menjawab, “Bertobatlah dan berilah dirimu dibaptis dalam nama Yesus.” Ini bermaksud, Injil tidak hanya menuntut kita untuk percaya dalam hati, tetapi juga untuk menyatakan iman itu dengan tindakan yang nyata, iaitu melalui pertobatan dan pembaptisan. Inilah yang sering dilupakan, ramai orang mengaku percaya, tetapi tidak bertobat. Ramai yang rasa tersentuh, tetapi tiada perubahan hidup. Tetapi khutbah yang sejati, yang diberitakan dengan setia kepada Firman Allah, akan membawa seseorang dari penyesalan dosa kepada ketaatan Injil, seperti yang tercatat, tiga ribu orang bertobat pada hari itu, ini bukan kerana suasana, bukan kerana muzik, tetapi kerana Firman Tuhan diberitakan dalam kuasa Roh.

Jadi apa yang boleh kita pelajari dari khutbah pertama ini? 

Kita belajar tentang gereja yang sejati dibangun bukan melalui persembahan dan persepuluhan, program yang padat, atau pendekatan yang penuh tipu muslihat, tetapi di atas pemberitaan yang jelas tentang Kristus. Kita belajar bahawa Roh Kudus bekerja bukan melalui gimik-gimik, tetapi melalui kebenaran. Kita belajar bahawa pertobatan adalah buah kebenaran, bukan dibuat-buat. Dan kita diingatkan bahawa tugas gereja bukan menjadikan Injil bertukar menjadi sesuatu yang sedap didengar, tetapi untuk menyampaikannya dengan tegas dan setia. 


***“Yesus adalah Tuhan dan Mesias, dan kamu perlu bertobat!” Dan suara itulah yang kita warisi dari khutbah pertama gereja.***

Soli Deo Gloria !

Comments

Popular posts from this blog

EVALUASI CRITICAL TERHADAP PELAKSANAAN KONFERENSI PMM

UNDUK NGADAU (HUMINODUN), PANDANGAN DAN SIKAP KRISTIAN

GEMBALA DAN MAJLIS GEREJA SALING MENGGIGIT?