LECTIONARY: YOHANES 14: 23-29 "DAMAI SEJAHTERA DARI ALLAH"

Rev. Fazli Samil (SRPCAA)

Pendahuluan

Dewasa ini, istilah “damai” digunakan secara keliru, seolah-olah damai dapat dicipta dengan suasana yang tenang. Dunia menjual damai seperti ia menjual telefon bimbit, dibungkus dengan janji manis dan harapan tinggi, tetapi sering kali isinya jauh daripada apa yang dijanjikan. Dunia bertanya: “apakah anda mau mengalami damai?” Jangan hiraukan orang lain! pergilah bercuti! dapatkan lebih banyak wang! larilah dari masalah! dan cintailah diri sendiri!. Dunia menyimpulkan damai sebagai suatu pengalaman yang bebas tanpa tekanan, bebas dari konflik, dan bebas dari gangguan. Sedihnya, semakin ramai orang yang percaya bahawa mereka akan mendapatkan ketenangan melalui cara-cara ini. Kenyataannya, semakin manusia berlari mengejar damai versi dunia, semakin jauh mereka terperangkap dalam kegelisahan, kekosongan, dan kebimbangan yang tidak dapat di selesaikan.

Apa yang lebih menyedihkan, gereja pun kadang-kadang terpengaruh dengan permainan ini. Lagu penyembahan semakin sentimental, ibadah semakin berfokus kepada suasana yang selesa, dan khutbah pun semakin beralih fokus pada motivasi rohani yang menenangkan perasaan. Tetapi realitinya, walaupun semua ini berlaku, mengapa masih ramai jemaat tetap pulang dengan hati yang gelisah? Mengapa ada yang menangis sewaktu menyembah, tetapi tetap tidak berubah dalam hidupnya? Mengapa ada yang menghafal banyak ayat Alkitab tetapi tidak mengalami damai dalam kehidupan harian mereka?

Jawapannya mungkin terletak pada kegagalan kita untuk memahami damai yang berasal dari suasana dan damai yang berasal dari Allah atau definisi damai telah kita ganti dengan definisi dunia. Kita terlalu cepat percaya bahawa suasana yang tenang dapat menggantikan kehadiran Tuhan. Kita menyangka bahawa jika ibadah cukup ‘syahdu’, maka hati kita akan damai, sedangkan damai sejati bukan hasil dari suasana emosi, tetapi dari hubungan dengan Kristus. Itulah sebabnya Yesus berkata dalam Yohanes 14:27: “Damai sejahtera Kutinggalkan bagimu. Damai sejahtera-Ku Kuberikan kepadamu, dan apa yang Kuberikan tidak seperti yang diberikan oleh dunia kepadamu. Janganlah gelisah dan gentar hatimu.” Ini bukan sekadar kata-kata manis untuk menenangkan murid-Nya, tetapi satu janji kekal bagi setiap orang percaya: bahawa damai Kristus bukan seperti yang ditawarkan dunia, ia lebih indah, lebih sempurna, dan bersifat kekal.

Pengertian Damai Sejahtera

Apabila Alkitab berbicara tentang “damai sejahtera”, ia tidak berbicara tentang ketenangan semata-mata, bukan juga tentang suasana yang selesa atau fikiran yang positif yang muncul selepas pulang bercuti atau semasa mendengar muzik. Dalam Perjanjian Lama, istilah Ibrani shalom membawa makna yang jauh lebih dalam, shalom bermaksud keutuhan, kesempurnaan, keharmonian sejati, dan hidup yang selaras dengan kehendak Allah, serta teratur dan terarah kepada Allah saja. Dalam Perjanjian Baru pula, perkataan Yunani eirēnē dipakai dengan maksud sebuah kedamaian rohani yang hadir apabila seseorang telah berdamai dengan Allah melalui Yesus Kristus. Shalom bukanlah keadaan di mana tiada masalah, tetapi keadaan di mana hati dan jiwa kita tetap teguh meskipun badai datang. Ini bukan ilusi ketenangan; ini adalah realiti rohani yang tidak dapat dinafikan.

Sayangnya, banyak orang Kristian hari ini menganggap damai hanya sebagai pengalaman emosi. Namun, Alkitab tidak pernah mengajar bahawa damai itu boleh dihasilkan melalui suasana. Damai sejati tidak pernah dijual oleh dunia dan tidak boleh dicetak oleh suasana, ia adalah buah dari hubungan yang benar dengan Allah. Damai itu lahir bukan dari luar, tetapi dari dalam; bukan dari persekitaran, tetapi dari kehadiran Allah yang diam dalam diri orang percaya. Justeru itu, kita perlu jujur: ramai orang Kristian tidak memiliki damai bukan kerana mereka kurang beribadah, kurang berdoa, kurang menyembah, tetapi kerana mereka tidak tinggal dalam Kristus. 

Shalom tidak hadir dalam hati yang memberontak terhadap Firman. Ia tidak tinggal dalam jiwa yang bergantung pada kekuatan sendiri. Damai tidak diasaskan oleh kehendak diri. Shalom hanya muncul apabila seseorang menyerah, percaya, dan tinggal dalam Kristus. Inilah sebabnya dalam Yohanes 14:27, Yesus dengan tegas membezakan antara damai yang diberikan-Nya dengan damai dari dunia: “Damai sejahtera-Ku Kuberikan kepadamu… tidak seperti yang diberikan oleh dunia.” Dunia memberi damai yang sementara dan palsu, sedangkan Kristus memberikan damai yang sejati dan kekal. 

Konteks Yohanes 14

Yohanes 14 adalah sebahagian daripada perbualan yang dikenali sebagai Upper Room Discourse, iaitu ucapan terakhir Yesus kepada murid-murid-Nya sebelum Dia ditangkap, diadili, diseksa, dan disalibkan. Dalam suasana yang penuh tekanan dan ketegangan ini, para murid sebenarnya sedang berada di ambang krisis terbesar dalam hidup mereka. Mereka tidak tahu bahawa sebentar lagi segala harapan mereka akan musnah, Guru mendampingi mereka akan mati. Yesus berbicara, yang mana Dia memberitahu mereka bahawa Dia akan pergi, tetapi Dia tidak akan meninggalkan mereka sendirian. Dia akan mengutus Roh Kudus, Penghibur yang kekal, dan lebih dari itu, Dia memberi mereka damai sejahtera, damai yang tidak sama seperti apa yang dunia tahu atau mampu berikan.

Dalam erti kata lain, Yesus tidak berjanji bahawa hidup mereka selepas itu akan bebas dari penderitaan. Malah, Yesus tahu bahawa selepas hari Pentakosta, mereka akan dianiaya, dibenci, dan ramai antara mereka akan mati sebagai pejuang iman. Maka, ketika Yesus berkata, “Janganlah gelisah dan gentar hatimu,” itu bukan sekadar ucapan mengambil hati murid-murid, Itu adalah seruan untuk percaya. Itu adalah undangan kepada iman yang berasas pada Kristus. Itulah yang menjadikan damai sejahtera semakin berkuasa. itu bukan janji dari seorang motivator atau ahli psikologi. Ia adalah janji dari Anak Allah yang tahu bahawa Salib sedang menanti, namun masih berkata, “Aku memberi kamu damai.” Hanya Yesus yang boleh memberi damai sambil berjalan menuju salib. Hanya Yesus yang boleh memelihara hati para murid-Nya di tengah ancaman penganiayaan dan hanya Yesus yang boleh memberi damai kepada kita hari ini. 

Bahagian berikutnya kita akan belajar 3 kebenaran penting tetang Damai Sejahtera:

1. Damai Yang Diasaskan Pada Kasih dan Ketaatan (ayat 23-24)

Yesus memulakan ayat 23 dengan satu pernyataan sangat bersyarat, apakah syarat itu?: “Jika seseorang mengasihi Aku, ia akan menuruti firman-Ku; dan Bapa-Ku akan mengasihi dia, dan Kami akan datang kepadanya dan diam bersama-sama dengan dia.” Perhatikan bahawa damai tidak ditawarkan kepada semua orang secara automatik, tetapi hanya diberi kepada mereka yang mengasihi Yesus dan menuruti firman-Nya. Ini bermakna bahawa damai sejahtera dari Allah bukan hadiah percuma tanpa syarat atau didapatkan secara sembarangan, tetapi warisan rohani bagi mereka yang benar-benar tinggal dalam Kristus, mengasihi Kristus dan berjalan dalam ketaatan kepada-Nya.

Sayangnya, kasih kepada Allah sering kali dinilai dengan ukuran emosi. Jika seseorang menangis sewaktu menyembah, atau mengangkat tangan ketika bernyanyi, maka dia dianggap “sungguh rohani”. Tetapi Yesus tidak berkata, Jika kamu menangis, Aku akan memberimu damai. Dia juga tidak berkata, Jika kamu menghadiri ibadah setiap minggu, maka Aku akan tinggal bersamamu. Tidak! Ukuran kasih menurut Yesus adalah ketaatan. “Jika seseorang mengasihi Aku, ia akan menuruti firman-Ku.” Kasih kepada Tuhan bukan sekadar dinyanyikan, tetapi dibuktikan melalui hidup yang tunduk kepada Firman-Nya.

Kita harus mengakui: banyak orang datang ke gereja supaya merasakan damai, tetapi mereka tidak bersedia untuk hidup dalam ketaatan. Mereka mahu ketenangan, tetapi tidak mahu meninggalkan dosa. Mereka mahu pemulihan, tetapi tidak mahu pertobatan. Mereka mahu hasil yang cepat tanpa asas. Mereka lupa bahawa damai sejati bukan perasaan, ia adalah buah dari persekutuan yang berterusan dengan Kristus, melalui kasih yang ditunjukkan dalam ketaatan. Tidak ada shortcut. Tidak ada jalan pintas yang menggantikan hidup kudus yang mengasihi Tuhan dengan sepenuh hati.

Sebaliknya, dalam ayat 24, Yesus menegaskan bahawa sesiapa yang tidak mengasihi-Nya tidak akan menuruti firman-Nya. Ini adalah peringatan yang tegas: mereka yang hidup tanpa ketaatan, walaupun menyebut nama Yesus setiap minggu, sebenarnya tidak memiliki kasih yang sejati kepada-Nya. Maka, bagaimana mungkin mereka mengharapkan damai, jika mereka menolak sumber damai itu sendiri? Jika kita benar-benar ingin hidup dalam damai sejahtera yang kekal, kita mesti kembali kepada dasar yang Yesus berikan: kasih yang diterjemah dalam ketaatan dan inilah syarat yang mengandung harapan. 

2. Roh Kudus Yang Menjaga Damai (ayat 26)

Yesus meneruskan janji-Nya dengan memperkenalkan satu lagi tokoh paling penting dalam kehidipan rohani orang percaya, iaitu Roh KudusPenghibur (Paraklētos bahasa Yunani), yang akan diutus oleh Bapa dalam nama-Nya. Dia menjanjikan bahawa Roh Kudus akan datang, bukan sekadar untuk memberi perasaan damai, tetapi untuk mengajar, mengingatkan, dan memelihara hati mereka dalam kebenaran. Di sinilah kita melihat bahawa damai bukan hanya anugerah Tuhan, tetapi juga penjagaan secara aktif oleh Roh-Nya yang hidup di dalam diri kita.

Namun sayangnya, konsep Roh Kudus di banyak gereja hari ini telah disalah fahami. Ada yang menganggap kehadiran Roh Kudus hanya sebagai suasana, bila muzik dimainkan, bila emosi memuncak, maka mereka berkata, “Ya, Roh Kudus hadir.” Tetapi Yesus tidak memperkenalkan Roh Kudus sebagai suasana atau perasaan, melainkan sebagai Pengajar dan Penolong, mengarahkan kita kepada kebenaran, dan menjaga hati kita. Dalam banyak gereja hari ini, kehadiran Roh Kudus dianggap sebagai pengalaman atau tanda-tanda lahiriah semata-mata. Tetapi Yesus menekankan fungsi Roh Kudus sebagai Penghibur yang mengajarkan segala sesuatu dan mengingatkan kembali segala yang telah Yesus katakan

Yesus tidak menjanjikan damai dalam bentuk “mood rohani”, tetapi damai yang dijaga oleh Roh Kudus yang aktif bekerja dalam hidup kita, iaitu melalui pengajaran, mengingatkan, menginsafkan dan membentuk karakter kita. Roh Kudus bukan pengunjung ibadah, tetapi Penolong kekal yang diam dalam hidup umat. Biarlah damai yang dari Allah terus dijaga oleh Roh-Nya, yang mengajar, mengingatkan, dan menghibur kita dalam kebenaran Kristus yang kekal.

3. Damai Tidak Ditentukan oleh Dunia (ayat 27-29)

Yesus mengakhiri bahagian ini dengan sangat jelas: “Damai sejahtera-Ku Kuberikan kepadamu, dan apa yang Kuberikan tidak seperti yang diberikan oleh dunia kepadamu.” Ini bukan sekadar perbandingan, tetapi satu penegasan: bahawa damai dari Kristus dan damai dari dunia adalah dua perkara yang sangat berbeza, bukan dalam jenama, tetapi dalam hakikat. Dunia boleh menawarkan ketenangan, tetapi ia bersyarat. Dunia boleh menjanjikan kestabilan, tetapi sangat rapuh. Dunia boleh menjual harapan, tetapi sementara. Sebaliknya, Yesus memberi damai yang tidak bergantung kepada situasi, emosi, atau keadaan, tetapi tentang siapakah yang tinggal dalam hidup umat-Nya, sang sumber damai itu sendiri.

Lihatlah apa yang sering dunia ajarkan: “Jika engkau mahu damai, jauhi masalah.” Jangan fikir sangat,  Fokuslah pada diri sendiri, jangan peduli apa kata orang! Damai dunia bergantung sekuat apa kita menghindari penderitaankeupayaan untuk memanipulasi emosi.  Tetapi Yesus menawarkan damai yang tetap berdiri apabila semua yang lain runtuh. Damai yang tidak berubah walaupun keadaan berubah. Damai yang tidak bergantung pada keinginan manusia, tetapi pada janji Tuhan.

Inilah sebabnya dalam ayat 27 Yesus melanjutkan dengan kata-kata, “Janganlah gelisah dan gentar hatimu.” Frasa ini bukan sekadar penyedap hati, tetapi perintah ilahi yang berakar dalam realiti rohani, bahawa bila Kristus benar-benar tinggal dalam hati kita, dan Roh Kudus memimpin kita dalam kebenaran, maka dunia mampu merampas damai itu. Paulus mengatakan dalam Roma 8:38-39, maut atau hidup, malaikat atau kerajaan, perkara masa kini atau yang akan datang, tidak ada yang dapat memisahkan kita daripada kasih Allah. Dengan kata lain, jika kasih-Nya tidak boleh dipisahkan, maka damai-Nya pun tidak boleh dirampas.

Dunia Berkata: "Anda mahu tenang? Larilah dari Masalah!"

Yesus Berkata: "Anda mahu tenang? Datanglah kepada-Ku!"

Soalan Refleksi

1. Apakah damai yang saya cari selama ini benar-benar datang dari Kristus, atau hanya dari suasana dan keselesaan hidup?

2. Adakah saya mengasihi Tuhan dengan ketaatan, atau sekadar emosi?

3. Bila hidup saya penuh masalah dan pergumulan, adakah damai saya tetap bertahan? Atau sebenarnya dasarnya bukan Kristus?

Kesimpulan

Damai dari Allah bukan ilusi, bukan magik, bukan suasana, dan bukan perasaan semata-mata. Ia adalah janji Kristus kepada mereka yang tinggal dalam kasih dan ketaatan. Dunia boleh menawarkan hiburan, tetapi hanya Kristus yang menawarkan kelegaan sejati. Dunia boleh menjanjikan ketenangan, tetapi hanya Yesus yang sanggup memberi damai yang tidak bergantung pada keadaan. Maka jangan kejar damai yang boleh lenyap, kejarlah Kristus yang memberikan damai sejati.


***Salib adalah sumber damai, dan hanya mereka yang tunduk di bawahnya akan benar-benar hidup dalam damai yang tidak dapat digoncangkan.***

Soli Deo Gloria!

Comments

Popular posts from this blog

EVALUASI CRITICAL TERHADAP PELAKSANAAN KONFERENSI PMM

UNDUK NGADAU (HUMINODUN), PANDANGAN DAN SIKAP KRISTIAN

GEMBALA DAN MAJLIS GEREJA SALING MENGGIGIT?