Menanti Kuasa & Menjalankan Misi

Penulis: Rev. Fazli Samil

Sabah Reformed Presbyterian Church Amanat Agung, Kota Kinabalu


Teks 

Kisah Para Rasul 1:1-5 (TB)  (1) Hai Teofilus, dalam bukuku yang pertama aku menulis tentang segala sesuatu yang dikerjakan dan diajarkan Yesus, (2) sampai pada hari Ia terangkat. Sebelum itu Ia telah memberi perintah-Nya oleh Roh Kudus kepada rasul-rasul yang dipilih-Nya. (3) Kepada mereka Ia menunjukkan diri-Nya setelah penderitaan-Nya selesai, dan dengan banyak tanda Ia membuktikan, bahwa Ia hidup. Sebab selama empat puluh hari Ia berulang-ulang menampakkan diri dan berbicara kepada mereka tentang Kerajaan Allah. (4) Pada suatu hari ketika Ia makan bersama-sama dengan mereka, Ia melarang mereka meninggalkan Yerusalem, dan menyuruh mereka tinggal di situ menantikan janji Bapa, yang — demikian kata-Nya —"telah kamu dengar dari pada-Ku. (5) Sebab Yohanes membaptis dengan air, tetapi tidak lama lagi kamu akan dibaptis dengan Roh Kudus."

Pendahuluan

Kisah Para Rasul bukan sekadar sebuah catatan sejarah tentang perkembangan gereja awal, tetapi merupakan kesinambungan karya penyelamatan Allah melalui Yesus Kristus. Dengan itu,, sejarah bukan sekadar rangkaian peristiwa masa lampau, melainkan sebuah kisah penebusan yang didasarkan pada kedaulatan Allah yang bergerak ke arah penggenapan rancangan-Nya yang kekal.

Lukas, seorang tabib dan sekaligus penulis yang teliti, menulis kitab ini sebagai sambungan kepada Injil Lukas yang ditulisnya. Dalam ayat pertamanya (Kis. 1:1), Lukas menyatakan bahawa “kitab yang pertama” mencatat segala sesuatu yang Yesus “lakukan dan ajarkan”. Kenyataan ini menunjukkan bahawa segala yang dilakukan oleh Yesus semasa hidup-Nya di dunia hanyalah permulaan; kini karya tersebut diteruskan melalui gereja, tubuh-Nya yang baharu dengan kuasa Roh Kudus.

Penantian para murid di Yerusalem, sebagaimana yang diperintahkan oleh Yesus (ayat 4), bukanlah satu bentuk kepasifan yang sia-sia. Sebaliknya, ia merupakan ketaatan yang aktif terhadap perintah Tuhan. Jadi, penantian sedemikian bukanlah tanda pasif, tetapi merupakan ungkapan iman yang teguh kepada kedaulatan dan janji Allah. Ini menekankan bahawa segala inisiatif dalam misi dan pembentukan gereja berasal daripada Allah sendiri - Missio Dei, iaitu misi Allah.

Dengan latar belakang ini, ayat 1–5 berperanan sebagai pengantar teologi kepada keseluruhan kitab ini. Ia memperlihatkan siapakah Pemimpin utama misi ini (Yesus yang telah bangkit), bagaimana misi ini diperkukuhkan (melalui Roh Kudus), dan kepada siapakah misi ini ditujukan (segala bangsa). Inilah naratif penebusan yang akan mewarnai keseluruhan catatan Lukas dalam kitab ini.

Eksposisi 

Ayat 1-2: Lukas Menulis kepada Teofilus

Lukas memulakan dengan merujuk kepada “kitab yang pertama” ( Injil Lukas), yang mencatat segala yang Yesus “mula lakukan dan ajarkan”. Dalam konteks ini, adalah penting untuk memahami kesinambungan antara Injil Lukas dan Kisah Para Rasul. Lukas ingin menunjukkan bahawa segala yang dilakukan Yesus semasa pelayanan-Nya di bumi hanyalah permulaan, dan kini karya tersebut diteruskan melalui gereja, yang dipimpin oleh Roh Kudus.

Dalam hal ini, karya keselamatan yang dimulakan dalam kehidupan dan kematian Yesus Kristus tidak berakhir dengan kebangkitan-Nya. Sebaliknya, Yesus yang bangkit kini terus memimpin gereja-Nya melalui kuasa Roh Kudus. Kristus sebagai Kepala Gereja berkuasa penuh, memperlengkapi dan mengutus umat-Nya untuk menjalankan misi (Ef. 1:22-23).

Teofilus kemungkinan merupakan seorang tokoh penting atau pemimpin gereja yang mencari kepastian. Lukas menulis untuk bertujuan memberikan jaminan bahawa ajaran tentang Yesus dan gereja adalah benar dan dapat dipercayai. Ini menunjukkan betapa pentingnya ketepatan sejarah dan ajaran teologi supaya para pendengar dapat beroleh kepastian dan penguatan iman.

Ayat 3: Kebangkitan Kristus dan Penampakan-Nya

Ayat ini menceritakan bahawa Yesus telah menampakkan diri kepada para murid-Nya selepas kebangkitan, dan selama empat puluh hari Ia memberikan pengajaran tentang Kerajaan Allah. Kebangkitan Kristus adalah bukti mutlak bahawa Dia telah mengalahkan maut dan hal ini merupakan inti kepada berita Injil yang di kumandangkan oleh gereja. Maka, kebangkitan ini menandakan sebuah penegasan ilahi bahawa Yesus adalah Anak Allah, dan melalui kebangkitan-Nya, umat percaya diberi jaminan akan kehidupan kekal.

Selama empat puluh hari, Yesus berbicara tentang Kerajaan Allah. Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Allah bukan hanya sebuah konsep rohani, tetapi satu realiti eskatologis yang sedang berlaku dan akan digenapi sepenuhnya apabila Kristus datang kembali. Hal ini mengingatkan kita tentang konsep Already but not yet bahawa Kerajaan Allah telah datang dalam diri Kristus ("sudah"), tetapi masih menanti penggenapan terakhirnya ("belum lagi").

Ayat 4-5: Janji tentang Roh Kudus

Yesus memerintahkan para murid-Nya untuk tetap tinggal di Yerusalem dan menantikan janji Bapa, Janji ini merujuk kepada pemberian Roh Kudus yang akan memperlengkapi dan menolong para murid untuk misi penginjilan. Peranan Roh Kudus sangat penting dalam kehidupan gereja. Tanpa Roh Kudus, gereja hanyalah sebuah organisasi manusiawi. Tetapi dengan kehadiran Roh Kudus, gereja menjadi tubuh Kristus yang hidup dan berfungsi dengan kuasa ilahi.

Missio Dei (Misi Allah): Perintah untuk menantikan Roh Kudus menggambarkan bahawa misi gereja bukanlah rekaan yang di dasarkan pada emosi semata, melainkan berasal daripada kehendak dan kuasa Allah sendiri. Ini menegaskan bahawa gereja tidak memulakan suatu misi, tetapi telah menyertai misi Allah sendiri iaitu membawa khabar keselamatan kepada segala bangsa melalui kuasa Roh Kudus.

Rumusan

Ayat-ayat ini memberi gambaran yang jelas tentang bagaimana Allah meneruskan karya penyelamatan-Nya melalui Kristus yang telah bangkit, dan bagaimana gereja diperlengkap oleh Roh Kudus untuk melaksanakan misi tersebut. Gereja bukanlah entiti yang bergerak dengan kekuatan sendiri, tetapi dipimpin dan digerakkan oleh kuasa ilahi. Ini akan menjadi asas penting bagi panggilan gereja untuk bergantung sepenuhnya kepada Roh Kudus dalam kehidupan, pelayanan, dan penyebaran Injil ke seluruh dunia.

Theologi 

Kisah Para Rasul 1:1-5 mengandungi tema-tema teologi yang sangat penting untuk memahami bagaimana Allah bekerja melalui gereja-Nya. Beberapa tema utama yang muncul daripada ayat-ayat ini ialah Kristologi, Pneumatologi, Ekklesiologi, dan Eskatologi.

1. Kristologi: Yesus sebagai Tuhan yang Bangkit dan Pemberi Janji Roh Kudus

Kristologi, adalah ajaran tentang siapa Yesus Kristus, sangat jelas ditonjolkan dalam Kisah Para Rasul 1:3. Yesus yang telah bangkit daripada kematian menunjukkan diri-Nya kepada para murid dan mengajar mereka mengenai Kerajaan Allah. Kebangkitan Kristus bukan sahaja menunjukkan kuasa-Nya terhadap maut, tetapi juga membuktikan bahawa Dia adalah Anak Allah yang hidup serta memiliki kuasa untuk memberikan hidup kekal kepada umat-Nya.

Maka kebangkitan Kristus merupakan pusat kepada Injil. Tanpa kebangkitan-Nya, keselamatan yang dijanjikan kepada umat manusia akan menjadi sia-sia. Yesus yang telah bangkit bukan hanya menjadi tanda kemenangan terhadap dosa dan maut, tetapi juga menjadi jaminan bagi kehidupan kekal setiap orang yang percaya kepada-Nya. Melalui kebangkitan-Nya, Yesus juga mengutus Roh Kudus untuk meneruskan misi-Nya melalui gereja.

2. Pneumatologi: Peranan Roh Kudus dalam Misi Allah

Selain Yesus Kristus, Roh Kudus juga menjadi penegasan utama dalam penggenapan rencana Allah untuk menyelamatkan umat manusia. Dalam ayat 4-5, Yesus menegaskan kepada para murid untuk menantikan janji Bapa, iaitu pencurahan Roh Kudus. Hal ini menandakan bahawa gereja akan diperlengkapi dengan kuasa Roh Kudus bagi melaksanakan misi yang telah diamanahkan oleh Kristus.

Dalam teologi Reformed, Roh Kudus memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan gereja. Roh Kudus memperbaharui kehidupan orang percaya, memberi kuasa untuk menjadi saksi Kristus, dan memperkukuh iman gereja dalam menghadapi cabaran dunia ini. Tanpa Roh Kudus, gereja tidak akan mampu melaksanakan misi Allah secara efektif. Roh Kudus juga adalah Penghibur yang setia mendampingi gereja hingga kedatangan Kristus yang kedua.

3. Ekklesiologi: Gereja sebagai Tubuh Kristus

Dalam Kisah Para Rasul 1:1-5, kita dapat melihat bagaimana gereja dipanggil untuk meneruskan misi Kristus melalui kuasa Roh Kudus. Gereja tidak memulakan misi ini secara sendiri, tetapi dipimpin dan dipakai oleh Kristus sendiri. Hal ini menunjukkan aspek ekklesiologi, iaitu ajaran tentang gereja.

Gereja adalah tubuh Kristus yang hidup dan aktif, yang dipanggil untuk memberitakan Injil kepada segala bangsa. Gereja bukan sekadar sebuah organisasi sosial atau sekelompok 'orang baik', tetapi merupakan satu tubuh rohani yang dipimpin oleh Kristus, disatukan oleh Roh Kudus dan diperlengkapi untuk menjalankan misi Allah di dalam dunia ini.

4. Eskatologi: Penantian akan Pemenuhan Kerajaan Allah

Ayat-ayat ini juga menyentuh tema eskatologi, iaitu ajaran tentang penggenapan kerajaan Allah. Dalam ayat 3, Yesus mengajar tentang Kerajaan Allah selama 40 hari, menunjukkan bahawa Kerajaan Allah telah datang melalui diri Yesus Kristus, namun belum digenapi sepenuhnya. Ini berkaitan dengan konsep eskatologi dalam tradisi Reformed yang dikenali sebagai “sudah tetapi belum” (already but not yet).

Kerajaan Allah telah dinyatakan dalam dan melalui Yesus, tetapi kepenuhannya hanya akan berlaku pada kedatangan-Nya yang kedua. Gereja dipanggil untuk hidup dalam satu bentuk penantian yang aktif, iaitu terus bekerja dalam misi Allah sambil berharap dan bersiap siaga menyambut penggenapan sepenuhnya janji-janji Allah pada masa yang akan datang.

Aplikasi Teologi 

Kisah Para Rasul 1:1-5, menjadi bahagian pengantar keseluruhan kitab ini, mengajar kita banyak prinsip yang relevan, baik untuk kehidupan gereja masa kini mahupun dalam kehidupan rohani peribadi kita sendiri. Beberapa aplikasi teologi yang boleh diambil daripada ayat-ayat ini seperti:

1. Kedaulatan Kristus dalam Misi Gereja

Salah satu tema yang paling ketara dalam Kisah Para Rasul 1:1-5 ialah misi gereja, bukan hasil inisiatif manusia, tetapi karya Allah yang dimulakan melalui Yesus Kristus yang bangkit. Kedaulatan Kristus dalam pengutusan gereja menegaskan bahawa setiap langkah dalam misi ini adalah sebahagian daripada rancangan Allah yang lebih besar untuk menyelamatkan dunia. Ini bermakna gereja tidak dapat bergantung kepada kekuatannya sendiri dalam melaksanakan misi ini, tetapi sepenuhnya bergantung kepada pimpinan Sang Kepala Gereja.

Dalam kehidupan gereja masa kini, kita diingatkan supaya tidak beranggapan bahawa misi gereja bergantung sepenuhnya kepada usaha 'saya'. Setiap pelayanan mesti dipimpin dan diperkuat oleh Kristus, yang adalah Kepala Gereja. Gereja yang memahami kedaulatan Kristus akan berjalan dengan penuh keyakinan, mengetahui bahawa misi ini bukan sekadar memenuhi tanggungjawab keagamaan, tetapi untuk menggenapkan rancangan kekal Allah.

2. Kepentingan Peranan Roh Kudus dalam Kehidupan Gereja

Yesus memerintahkan para murid agar menantikan pencurahan Roh Kudus di Yerusalem. Ini menunjukkan bahawa Roh Kudus adalah sumber kuasa dan kehidupan bagi gereja. Tanpa Roh Kudus, gereja tidak akan mempunyai keupayaan untuk melaksanakan misi Kristus di dunia ini. Oleh itu, setiap anggota gereja perlu memahami betapa pentingnya peranan Roh Kudus dalam kehidupan mereka, baik dari segi pembaharuan rohani, pelayanan mahupun dalam penginjilan.

Maka pentingnya untuk bergantung kepada Roh Kudus dalam kehidupan sehari-hari gereja. Gereja tidak boleh bersandar pada kebolehan mereka semata-mata, tetapi harus sentiasa berdoa, meminta bimbingan dan kuasa Roh Kudus. Ini juga mengingatkan kita untuk terus memperbaharui hidup kita agar kita dapat menjadi saksi Kristus yang berkesan di dunia ini.

3. Misi sebagai Missio Dei (Misi Allah)

Salah satu aspek yang sangat penting dalam ayat-ayat ini ialah bahawa misi yang dilakukan oleh gereja adalah misi Allah sendiri (Missio Dei). Gereja bukanlah pemilik kepada misi ini, tetapi adalah pelayan yang dipanggil untuk mengambil bahagian dalam misi Allah yang lebih besar. Misi Allah untuk menyelamatkan bangsa-bangsa melalui Kristus adalah panggilan utama gereja di dunia ini. maka, gereja tidak dipanggil untuk mengumpulkan kewangan semata-mata meskipun hal itu penting dan diperlukan, gereja harus memberikan penekanan tentang misi Allah ini. 

Setiap usaha gereja, sama ada dalam penginjilan, pelayanan sosial, pendidikan dsb, mestilah sentiasa diorientasikan kepada misi Allah untuk memberitakan Injil dan membawa keselamatan kepada semua bangsa. Gereja tidak boleh terperangkap dalam fokus yang sempit iaitu kepada diri sendiri, tetapi perlu melihat misi ini sebagai rancangan Allah yang agung untuk dunia.

4. Penantian yang Aktif 

Penantian para murid untuk menerima pencurahan Roh Kudus bukanlah satu penantian yang pasif, tetapi satu penantian yang penuh ketaatan dan kesetiaan. Penantian yang aktif adalah sebahagian daripada kehidupan rohani yang sihat. Menunggu dengan iman bermakna menantikan penggenapan janji-janji Allah dengan sabar, sambil terus berdoa, beribadah, dan hidup dalam ketaatan kepada firman-Nya.

Penantian yang aktif ini mengajar kita untuk terus setia dan sabar dalam kehidupan ini. Ketika kita menunggu pemenuhan janji-janji Allah dalam hidup kita, kita tidak seharusnya berdiam diri atau berputus asa, tetapi terus berusaha untuk hidup dalam ketaatan dan ibadah. Dalam konteks misi gereja, penantian yang aktif bererti terus berusaha menyebarkan Injil, membina komuniti gereja, dan melayani satu sama lain sambil menantikan kedatangan Kristus yang kedua.

5. Misi Global dan Penglibatan Gereja

Gereja tidak hanya dipanggil untuk fokus kepada pelayanan setempat, tetapi juga untuk terlibat dalam misi global. Ayat 5 menegaskan bahawa baptisan dengan Roh Kudus merupakan persiapan bagi gereja untuk menjadi saksi di seluruh dunia. Misi ini melibatkan semua orang percaya tanpa mengira latar belakang budaya, kaum, atau bangsa. Oleh itu, gereja perlu mengembangkan visi yang lebih luas, melibatkan diri dalam penginjilan global dan mengutus para misionari untuk membawa khabar baik kepada bangsa-bangsa yang belum mengenal Kristus.

Ringkasan Aplikasi:

  • Kedaulatan Kristus dalam misi gereja mengingatkan kita bahawa misi ini adalah karya Allah yang lebih besar, bukan inisiatif manusia.

  • Peranan Roh Kudus mengingatkan kita bahawa gereja hanya dapat melaksanakan misi Allah melalui kuasa dan pimpinan Roh Kudus.

  • Misi sebagai Missio Dei menegaskan bahawa gereja mengambil bahagian dalam rancangan keselamatan Allah yang agung bagi dunia.

  • Penantian yang aktif mengajar kita untuk hidup dalam ketaatan dan kesetiaan sambil menantikan penggenapan janji Allah.

  • Misi global menyeru kepada gereja agar terlibat dalam penginjilan di seluruh dunia dan menjangkau bangsa-bangsa yang belum mengenal Kristus.

Aplikasi-aplikasi ini mengajak kita untuk hidup sebagai gereja yang aktif, bergantung kepada Roh Kudus, dan berkomitmen untuk melaksanakan misi Allah di dunia ini. 

Kesimpulan 

Kisah Para Rasul 1:1-5 memberikan kita suatu pengenalan yang pentng tentang bagaimana gereja memulakan perjalanannya selepas kebangkitan dan kenaikan Yesus Kristus. Ayat-ayat ini menegaskan bahawa gereja merupakan sebuah kesinambungan kepada karya Kristus yang berdaulat, yang dilaksanakan melalui kuasa Roh Kudus. 

Adalah penting untuk kita menyedari bahawa misi gereja bukanlah usaha kita yang terpisah daripada Allah, tetapi merupakan satu panggilan yang disebut amanat agung Gereja, sebagai tubuh Kristus. Gereja juga dipanggil untuk melibatkan diri dalam misi global, mewartakan Injil kepada semua bangsa, dan melaksanakan amanat pengutusan yang telah diberikan oleh Yesus Kristus.

Semua ini mengingatkan kita bahawa gereja bukan sebuah organisasi manusia, tetapi adalah tubuh yang dipimpin oleh Kristus, diperlengkapi oleh Roh Kudus, dan diutus untuk melaksanakan misi Allah di dunia ini. Oleh itu, kita diajak untuk terus hidup dalam ketaatan, bergantung sepenuhnya kepada Allah, dan mengambil bahagian dalam misi-Nya untuk membawa keselamatan kepada segala bangsa. 

Soli Deo Gloria!

Comments

Popular posts from this blog

EVALUASI CRITICAL TERHADAP PELAKSANAAN KONFERENSI PMM

UNDUK NGADAU (HUMINODUN), PANDANGAN DAN SIKAP KRISTIAN

GEMBALA DAN MAJLIS GEREJA SALING MENGGIGIT?