MENJANGKAU ANAK MUDA YANG CONFUSE IDENTITY

Penulis: Rev. Fazli Samil (SRPCAA)

Gambar Kiasan

Ramai anak muda hari ini sedang bergelut dengan persoalan yang sangat serius: "Siapakah saya sebenarnya?" Mereka bukan sahaja berhadapan dengan tekanan yang biasa-biasa, seperti pengaruh rakan sebaya, pencapaian akademik, dan harapan keluarga, tetapi mereka juga ditarik oleh pelbagai pengaruh luar yang membentuk cara mereka melihat diri mereka sendiri. Banyak tempat termasuk kawasan kampung pada masa ini sudah ada akses kemudahan seperti jalan raya, elektrik, sekolah dan internet, maka pendedahan kepada budaya luar kini semakin cepat untuk diperolehi, anak-anak muda sudah dapat mengikuti trend dari negara-negara luar, melihat video, membaca, bahkan disuap dengan pelbagai pemikiran (ideologi) yang tidak selari dengan iman dan nilai-nilai ajaran Kitab Suci.

Isu yang semakin jelas adalah kekeliruan identity, termasuk status seksual, di mana sebahagian besar dari mereka tidak pasti tentang siapa mereka. Ada yang mula mempersoalkan jantina mereka, tertarik kepada sesama jenis, atau mengikut naratif popular yang mengajarkan bahawa "identiti adalah pilihan peribadi secara bebas." Hal ini bukan sahaja menyentuh isu moral, tetapi ia adalah manifestasi dari kekosongan rohani dan betapa kecilnya pemahaman mereka tentang siapa diri mereka di hadapan Tuhan. Pada masa yang sama, mereka sebenarnya tidak berniat untuk memberontak atau melawan nilai-nilai agama. Mereka hanya keliru, sunyi, dan ingin mencari tempat di mana mereka boleh merasa diterima dan bernilai. Malangnya, dunia digital lebih cepat memberi ruang kepada mereka berbanding gereja atau keluarga.

Sebagai orang percaya, kita tidak boleh menutup mata terhadap kenyataan ini. Kita juga tidak boleh hanya menghukum atau berharap mereka akan berubah sendiri. Sebaliknya, kita perlu belajar hadir secara aktif dan bijaksana, membawa mereka kembali kepada firman Tuhan dengan kasih, kesabaran dan pendekatan yang sesuai dengan zaman mereka. Persoalannya sekarang, bagaimanakah cara kita menjangkau mereka yang sedang keliru tentang identiti? Bagaimana kita boleh menarik mereka untuk mencintai Firman Tuhan, sambil kita tetap menggunakan pendekatan digital dan media sosial yang membina? Jawapan kepada soalan-soalan ini memerlukan pemahaman yang memadai, jujur, pendekatan yang kreatif, dan terlebih lagi kasih yang benar-benar mahu memeluk mereka seperti Kristus memeluk kita dahulu waktu masih tersesat.

Mengenali Masalah Mereka

Untuk menjangkau anak-anak muda yang sedang keliru tentang identiti diri mereka, kita perlu memahami beberapa isu yang mereka hadapi dalam kehidupan seharian. Isu-isu ini bukan sekadar cerita kosong, tetapi benar-benar berlaku di sekeliling kita, di kampung, di sekolah, bahkan dalam lingkungan gereja sendiri. Kita tidak boleh lagi beranggapan bahawa isu seperti lesbianisme, homoseksualiti, atau kekeliruan jantina hanya berlaku di bandar besar atau luar negara. Dengan kemajuan teknologi dan kebebasan media sosial hari ini, budaya serta ideologi luar kini masuk dengan mudah ke dalam kampung, rumah, dan bahkan hati anak-anak muda melalui skrin kecil di tangan mereka. Oleh itu, sebelum kita dapat membawa penyelesaian rohani, kita mesti mengenal pasti dan memahami empat isu utama yang menjadi penyebab kepada masalah ini.

1. Krisis identiti dan kekosongan rohani
Inilah akar utama mengapa ramai anak muda keliru tentang siapa diri mereka yang sebenar. Tanpa asas yang kuat, mereka mudah menerima definisi identiti berdasarkan apa yang mereka lihat, dengar, dan ikuti di media sosial. Dunia hari ini berkata, “Jadilah seperti apa yang kamu suka,” tetapi Firman Tuhan berkata, “Jadilah seperti Kristus.” Perbezaan besar ini mewujudkan konflik dalaman yang serius terhadap jiwa mereka. Apabila tiada siapa yang hadir untuk membimbing mereka kepada kebenaran, mereka akhirnya mengikuti suara yang paling kuat dan sering kali, suara itu datang dari dunia, bukan daripada gereja.

2. Pengaruh teknologi dan budaya digital
Anak-anak muda pada masa kini menghabiskan lebih banyak masa dalam dunia digital berbanding dunia sebenar. Mereka membina hubungan secara dalam talian, berkongsi fikiran melalui media sosial, dan membentuk identiti berdasarkan jumlah ‘like’ dan ‘followers’. Media sosial pula sering mempersembahkan kandungan yang mempromosikan gaya hidup bebas tanpa batas, ideologi LGBTQ+, dan pandangan relativistik tentang kebenaran. Secara perlahan-lahan, mereka dibentuk oleh arus dunia ini tanpa sedar, tanpa panduan rohani yang jelas, mereka tidak mampu membezakan antara kebenaran dan penipuan tersembunyi.

3. Tiada bimbingan rohani yang konsisten
Ramai dalam kalangan anak muda hidup dalam suasana yang kurang mendapat bimbingan rohani, sama ada di rumah atau di gereja. Dalam keluarga, jarang bercerita tentang iman dan identiti dalam Kristus. Di gereja pula, pendekatan terhadap anak muda kadang-kadang terlalu formal, terlalu akademik, atau sama sekali tidak menyentuh realiti hidup mereka. Anak-anak muda ini sebenarnya bukan menolak Tuhan, tetapi mereka merasa bahawa gereja tidak memahami mereka. Sebaliknya, dunia menyambut mereka dengan tangan terbuka. Di sinilah gereja perlu tampil sebagai komuniti yang menyambut dengan kasih, namun tetap berpegang pada kebenaran.

4. Pendekatan yang relevan, kreatif, dan penuh kasih.
Anak muda hari ini tidak semestinya mencari program besar atau acara mewah. Mereka sebenarnya mencari hubungan yang sejati dan tulus dan orang-orang yang betul-betul ambil berat terhadap mereka. Mereka rindu ada seseorang yang sanggup berjalan bersama mereka walaupun mereka masih bergelut dan keliru. Oleh itu, soalan yang seharusnya kita tanya bukan sekadar “apa yang salah dengan mereka?”, tetapi “apa yang boleh saya lakukan untuk membawa mereka kepada kebenaran?”

Dengan memahami keempat-empat isu ini kita akan lebih bersedia untuk melangkah ke tahap seterusnya iaitu membina pendekatan yang berkesan dari secara rohani, tetapi juga dekat dengan jiwa dan realiti dunia anak muda pada hari ini. 

Penyelesaian Praktikal

Kini tibalah masanya untuk kita memikirkan pendekatan yang lebih bijaksana, penuh empati, dan sangat kontekstual agar kita bukan sahaja dapat mendekati anak-anak muda yang mengalami keliru identiti, tetapi juga mengiringi mereka secara perlahan-lahan hingga mereka mengenal siapa diri mereka yang sebenar di dalam Tuhan. Pendekatan ini tidak boleh bersifat satu arah atau bersifat memaksa, kerana generasi muda hari ini sangat peka terhadap nada suara, bahasa tubuh, dan cara kita menyampaikan sesuatu. Mereka bukan sekadar mahu mendengar apa yang benar, tetapi juga ingin tahu, “Adakah saya tetap dikasihi walaupun saya belum berubah?” Oleh itu, pendekatan yang berkesan mesti dimulakan dengan kasih, diikuti oleh kebenaran, dan disampaikan dengan kreatif.

1. Kasih dan Kebenaran
Kita perlu mendekati anak muda dengan kasih dan kebenaran, dua prinsip yang tidak boleh dipisahkan dalam pelayanan pastoral. Rasul Paulus menasihatkan dalam Efesus 4:15 agar kita “berkata benar di dalam kasih,” supaya kita semua bertumbuh ke arah Kristus. Dalam beberapa situasi, gereja cenderung menekankan kebenaran dengan tegas, namun gagal menyampaikan kasih. Sebaliknya, ada pula yang terlalu menekankan kasih hingga mengabaikan kebenaran. Anak muda yang sedang keliru identiti tidak memerlukan hukuman, tetapi ruang untuk dikenal, didengar, dan dibimbing. Kita tidak kompromi dengan dosa, namun kita tetap mengasihi mereka yang jatuh, seperti mana Yesus sendiri telah melakukan selama pelayanan-Nya dibumi. Membangun hubungan yang baik adalah kunci utama: bertanya khabar, menjadi sahabat, dan menunjukkan kepedulian. saya percaya dari sinilah pintu akan mula terbuka.

2. Bantu Mereka Mengenal Identiti mereka
Ramai anak muda mungkin mengenal nama Yesus, tetapi belum memahami makna menjadi manusia yang dicipta dalam rupa dan gambar Allah. Kita perlu membawa mereka menyelami kebenaran ini. Kita harus memberitahu bahawa mereka ada di dunia bukan suatu kesalahan. Mereka dijadikan sebagai lelaki atau perempuan bukan kerana tekanan sosial, tetapi kerana kehendak dan rancangan Allah yang baik. Dalam 1 Korintus 6:19, kita diingatkan bahawa tubuh kita adalah bait Roh Kudus, ini bermaksud tubuh kita adalah sesuatu yang suci dan sangat bernilai. Dengan pengajaran firman yang konsisten, mereka akan mula melihat diri mereka bukan melalui kaca mata "apa kata orang lain", apa yang mereka lihat di media sosial, tetapi melalui kaca mata Kristus apa yang tertulis dalam Alkitab.

3. Gunakan Teknologi Sebagai Alat, Bukan Musuh
Kita sering melihat media sebagai ancaman kepada anak muda, tetapi hakikatnya teknologi bersifat neutral, ia bergantung kepada bagaimana ia digunakan. Oleh itu, gereja dan pelayanan muda-mudi mesti berani masuk ke ruang digital dan menjadi terang di sana. Ajak anak-anak muda menghasilkan konten rohani yang membina seperti video TikTok renungan harian, Instagram Reels tentang petikan firman, atau podcast pendek yang membincangkan isu yang dekat dengan kehidupan mereka seperti “perasaan sunyi”, “cinta sihat”, atau “bagaimana bila aku gagal?”. Apabila anak muda dilibatkan dalam menciptakan konten, mereka bukan sahaja menjadi pengguna, tetapi juga pelaku dalam membawa perubahan dan ini adalah permulaan transformasi bukan sahaja pada apa yang mereka lihat, tetapi juga pada nilai apa yang mereka sedang pegang.

4. Aktiviti Belajar Firman Tuhan yang Menarik
Kita tidak perlu menjadikan Alkitab sebagai bahan hiburan, tetapi suasana belajar Firman boleh dirancang agar lebih interaktif dan hidup. Gunakan pendekatan seperti permainan, Melakonkan cerita Alkitab, seni visual atau muzik pujian sebagai medium untuk menggalakkan penglibatan. Sebagai contoh, boleh digabungkan dengan aktiviti melukis diri sendiri atau menulis surat kepada diri dari perspektif rohani, serta libatkan mereka untuk membuat "life Map" sejak mereka tadika, sekolah rendah dan sampai sekarang. Aktiviti seperti ini bukan sahaja memberi ruang untuk refleksi diri, tetapi juga menjadikan Firman Tuhan lebih berkesan secara peribadi dan sangat menyembuhkan.

5. Didik Kesedaran Digital yang Bijaksana dan Matang
Anak muda zaman ini tidak suka dikongkong, tetapi mereka boleh dibimbing untuk membuat pilihan-pilihan yang bijak. Ajar mereka mengatahui isi kandungan apa yang membina dan yang mana merosakkan. Galakkan penggunaan teknologi untuk perkara yang baik dan ajarkan nilai penapisan rohani. Dalam 1 Korintus 10:23, Paulus mengingatkan: “Segala sesuatu halal bagiku, tetapi tidak semuanya berguna.” Maka, tanamkan kesedaran dalam diri mereka untuk menilai apa yang berguna bagi pertumbuhan rohani mereka. Dengan pendekatan ini, mereka akan belajar membina disiplin yang kuat dan tahan uji.

Kesemua pendekatan ini bertujuan untuk membawa anak muda lebih dekat kepada Tuhan secara bertahap, bukan dengan paksaan atau jalan pintas. Kita mahu membina generasi yang bukan hanya mengenal Kristus di kepala, tetapi di hati; bukan sekadar tahu larangan, tetapi mengerti kasih-Nya; bukan hanya patuh kerana takut, tetapi taat kerana telah mengalami pemulihan identiti dalam Kristus. Inilah tugas besar kita: menjangkau dengan kasih, membimbing dengan sabar, dan menyerahkan hasilnya kepada Tuhan yang sanggup mengubah hati menjadi hati yang paling teguh dalam Dia.

Bagaimana Dengan Konteks Kampung?

Pelayanan yang relevan bukan sahaja perlu disesuaikan pada bahasa dan bentuk penyampaian, tetapi juga melibatkan kebijaksanaan pastoral dengan kreativiti digital. Berikut adalah beberapa strategi praktikal yang boleh dilaksanakan dalam pelayanan anak muda di kawasan kampung:

1. Retreat Identiti: “Siapa Saya di Hadapan Tuhan?”

Salah satu pendekatan awal yang sangat efektif ialah menganjurkan retreat khusus untuk pemulihan identiti. Retreat ini boleh dilaksanakan selama satu hingga dua hari, dengan pengisian berupa sesi Firman yang sederhana tetapi menyentuh, refleksi peribadi, aktiviti kumpulan yang menyeronokkan, serta ruang untuk berkongsi cerita dan pengalaman hidup secara terbuka. Antara topik yang boleh dijadikan rangka utama ialah:

  • “Dicipta oleh Allah”

  • “Tubuhku Berharga”

  • “Tuhan Menerima Aku”

  • “Langkah Awal Menuju Kristus”

Suasana santai, permainan, pujian, dan kesaksian akan membantu membuka hati mereka untuk menerima kebenaran secara lebih baik.

2. Kelab Digital Rohani

Selepas retreat, harus ada folow up dalam pembinaan rohani. Ini boleh dilakukan dengan menubuhkan Kelab Digital Rohani, iaitu sebuah komuniti kecil yang berinteraksi melalui aplikasi seperti WhatsApp, Telegram, atau Facebook Group. Dalam ruang digital ini, anak-anak muda boleh:

  • Berkongsi ayat renungan harian

  • Saling mendoakan

  • Menonton video rohani pendek 

  • Menyertai kuiz Alkitab atau sesi soal jawab

Pemimpin gereja boleh melantik fasilitator digital, seorang pemuda atau pemudi yang bersemangat, mesra, dan dekat dengan dunia anak muda untuk memastikan kelab ini dapat berfungsi sebaiknya.

3. Program Mentoring 

Dalam membina identiti yang sihat dan kuat, kehadiran seorang mentor sangat penting. Gembala boleh melatih beberapa calon sebagai abang atau kakak rohani yang berfungsi sebagai pendamping, pembimping, pendengar dan penasihat.

  • Mendengar dengan teliti dan penuh kasih

  • Menegur dengan kasih 

  • Memberi dorongan secara peribadi

Mentoring ini sangat berkesan bagi anak-anak muda yang sedang mencari arah. Ia boleh berlangsung secara semula jadi, sambil bersukan, kopi-kopi atau berbual santai. Yang penting, wujudnya hubungan yang tulus dan membina.

4. Menjadi Content Creator Muda

Ramai anak muda hari ini sangat kreatif dan aktif dalam media sosial, tetapi tidak tahu bagaimana menggunakannya untuk memuliakan Tuhan. Gereja boleh menyediakan latihan asas seperti:

  • Membuat video renungan harian

  • Menulis renungan rohani

  • Menghasilkan grafik ayat firman atau lagu rohani

  • Mengedit video untuk TikTok, Instagram, atau YouTube

Apabila anak-anak muda dilibatkan dalam pelayanan digital, mereka bukan sahaja mengembangkan bakat, tetapi juga menemukan panggilan untuk menjadi terang dalam platform yang biasa mereka gunakan.

5. "Bersama Kita Saling Menjaga"

Akhir sekali, salah satu pendekatan penting ialah mewujudkan budaya saling menjaga. Ini bukan sekadar tugas ibu bapa atau pemimpin, tetapi tanggungjawab bersama antara anak-anak muda untuk:

  • Mengingatkan satu sama lain 

  • Menghindari bermacam bahaya

  • Menasihati dengan kasih

Kita juga boleh memperkenalkan mereka kepada aplikasi rohani yang membina seperti:

  • YouVersion Bible App

  • Bible Project

  • Audio doa dan renungan

Fokus utama ialah membina kesedaran dari dalam, bukan melarang secara tegas, tetapi menanamkan rasa cinta akan kebenaran dan hikmat memilih apa yang baik untuk mereka. 

Saya berpendapat, strategi pelayanan anak muda di kampung tidak perlu mewah atau canggih, yang penting ianya realistik, berakar pada kasih Kristus, dan menyentuh kehidupan sebenar mereka. Dalam dunia yang semakin mencabar ini, pelayanan anak muda harus menjadi jambatan antara kasih Tuhan dan dunia mereka. Dengan membina hubungan yang baik, menyiapkan Firman Tuhan secara kreatif, dan menggunakan teknologi dengan bijaksana, kita boleh menjadi alat yang membawa anak-anak muda kembali kepada identiti mereka yang sejati, iaitu sebagai anak yang dikasihi, ditebus, dan dipanggil untuk hidup dalam terang Kristus.

Comments

Popular posts from this blog

EVALUASI CRITICAL TERHADAP PELAKSANAAN KONFERENSI PMM

UNDUK NGADAU (HUMINODUN), PANDANGAN DAN SIKAP KRISTIAN

GEMBALA DAN MAJLIS GEREJA SALING MENGGIGIT?