Penjelasan Imamat 19:19

Mengapa Percampuran Ternak, Menyamai Dua Jenis Benih, dan Pakaian Dari Dua Jenis Benang dilarang dalam Imamat 19:19, tetapi Sekarang seolah-olah dibenarkan? Adakah itu tidak melanggar hukum Tuhan?

Imamat 19:19 (AVB)  Berpegang teguhlah pada segala peraturan-Ku. Jangan membiak baka kacukan daripada dua jenis haiwan ternakanmu. Jangan semai dua jenis benih bijirin di ladangmu. Jangan kenakan pada tubuhmu pakaian yang ditenun daripada dua jenis benang. 

Imamat 19:19 (TB)  Kamu harus berpegang kepada ketetapan-Ku. Janganlah kawinkan dua jenis ternak dan janganlah taburi ladangmu dengan dua jenis benih, dan janganlah pakai pakaian yang dibuat dari pada dua jenis bahan.

Hukum dan Peraturan ini diberikan oleh Allah kepada bangsa Israel sebagai panduan supaya mereka hidup kudus, sekaligus menjadi pembeza yang sangat penting antara bangsa-bangsa lain. Tujuan utama larangan ini bukan setakat hal pencampuran dari segi biologi, jenis benih dan jenis benang, tetapi menekankan pemisahan dan kekudusan umat Vs bangsa-bangsa yang tidak mengenal Allah.

Pada zaman Perjanjian Lama, bangsa Israel hidup di tengah-tengah masyarakat penyembah berhala yang sering menggunakan praktik seperti mencampurkan benih atau mencampurkan jenis binatang berbeza dalam upacara penyembahan berhala mereka. Maka, larangan-larangan ini berfungsi sebagai tanda identiti umat yang dikuduskan oleh Tuhan. Hal ini juga melambangkan secara simbolik bahawa Tuhan menghendaki kemurnian dan keterpisahan umatnya dari pencemaran.

Namun, dalam terang Perjanjian Baru, larangan-larangan ini tidak lagi mengikat. Apabila Yesus Kristus datang, Dia telah menggenapi hukum Taurat (Matius 5:17). Ini bermaksud hukum-hukum sivil dan seremonial telah digenapi dan tidak lagi terpakai sebagai perintah kepada umat Tuhan zaman ini. Rasul Paulus juga menekankan bahawa hal-hal seperti makanan, perayaan dan peraturan hanyalah bayang-bayang yang akan datang, sedangkan hakikatnya ialah Kristus (Kolose 2:16-17).

Oleh itu, percampuran binatang (seperti pembiakan hibrid), pakaian dari dua jenis benang/kain, atau ladang dengan dua jenis benih tidak lagi dianggap berdosa dalam konteks Perjanjian Baru. Hal ini tidak melanggar hukum Tuhan, kerana hukum tersebut tidak ditetapkan untuk berlaku secara kekal. Apa yang kekal adalah prinsip rohaninya, iaitu umat Tuhan harus hidup dalam kekudusan, menjauhi kompromi, dan memelihara kemurnian iman dalam dunia yang banyak percampuran termasuklah orang-orang yang tidak mengenal Allah dan melawan Allah.

Dengan kata lain, hari ini kita tidak lagi diukur berdasarkan jenis binatang, jenis benih atau jenis pakaian, tetapi berdasarkan kesetiaan kita kepada Kristus dan hidup yang kudus di hadapan-Nya (1 Petrus 1:15-16).


Penulis: Rev. Fazli Samil

Comments

Popular posts from this blog

EVALUASI CRITICAL TERHADAP PELAKSANAAN KONFERENSI PMM

UNDUK NGADAU (HUMINODUN), PANDANGAN DAN SIKAP KRISTIAN

GEMBALA DAN MAJLIS GEREJA SALING MENGGIGIT?