TANGAN TERLALU AKTIF, TAPI HATI KOSONG

Rev. Fazli Samil (SRPCAA)

Gambar Kiasan

Tangan terlalu Aktif mengambarkan seseorang yang banyak tugas, banyak pelayanan dan banyak jawatan. Namun, Apakah banyak tugas, pelayanan dan jawatan menjamin hubungan yang dekat dengan Tuhan? Dalam bergereja masa kini, ukuran kerohanian seseorang sering kali ditentukan oleh seberapa aktifnya dia melayani: menjadi pemimpin pujian, mengajar kelas, merancang acara, mengetuai jawatankuasa, atau sibuk sepanjang minggu dengan pelbagai program gereja. Namun, satu persoalan yang jarang dibangkitkan adalah: adakah kesibukan dalam pelayanan benar-benar menunjukkan bahawa seseorang itu memiliki hubungan yang sejati dengan Tuhan?

Kalau kita jujur dengan diri sendiri, kita akan mengakui bahawa pelayanan kadangkala dijadikan sebagai tempat menyembunyikan kekeringan rohani yang sedang kita rasakan. Kita boleh kelihatan sibuk untuk Tuhan, tetapi hati kita jauh daripada-Nya. Kita menyebut nama-Nya dalam setiap program, tetapi tidak pernah menyebut nama-Nya dalam doa secara peribadi. Kita boleh mengajar orang lain tentang kebenaran, tetapi kita sendiri tidak hidup dalam kebenaran itu. Maka, pelayanan tidak secara automatik membuktikan keintiman, ia hanya sekadar aktiviti, dan aktiviti bukanlah bukti hubungan. lebih jauh, saya akan membawa anda melihat beberpa perkara:

1. Yesus Sudah Memberi Amaran Tentang Hal Ini

Dalam Matius 7:22–23, Yesus memberikan satu peringatan:

“Pada hari terakhir, ramai akan berkata kepada-Ku: ‘Tuhan, Tuhan, bukankah kami bernubuat demi nama-Mu, dan mengusir roh jahat demi nama-Mu, dan mengadakan banyak mukjizat demi nama-Mu?’ Tetapi pada waktu itu Aku akan berkata terus terang kepada mereka: ‘Aku tidak pernah mengenal kamu. Pergilah daripada-Ku, kamu semua yang melakukan kejahatan!’”

Perhatikan, mereka ini melayani, bahkan melakukan perkara-perkara besar seperti: bernubuat, mengusir setan, membuat mukjizat,  tetapi Yesus berkata, “Aku tidak pernah mengenal kamu.” Di mata manusia, mereka ini terlihat seperti "wira rohani”, tetapi di mata Tuhan, mereka adalah orang asing. Maka penegasan disini adalah keselamatan dan hubungan dengan Tuhan tidak didasarkan pada jumlah kerja, pelayanan dan jawatan, tetapi berdasarkan kasih karunia, iman yang sejati kepada Kristus, dan buah-buah yang lahir daripada kasih kepada Allah. Dengan kata lain, Tuhan lebih melihat hati, berbanding jadual pelayanan yang padat, tugas yang banyak dan jawatan yang membanggakan tetapi kosong secara rohani.

2. Pelayanan Tanpa Iman dan Kasih

Pelayanan itu baik, itu merupakan respon yang wajar terhadap kasih Allah yang telah kita terima. Tetapi jika pelayanan dilakukan dengan niat supaya dikenali, dihargai, atau lebih teruk lagi: sebagai jalan untuk menutup rasa bersalah dan kekeringan secara rohani, maka pelayanan itu telah berubah daripada penyembahan kepada persembahan.

Dalam Wahyu 2:2-4, Yesus memuji jemaat Efesus kerana ketekunan dan kerja keras mereka. Namun, Dia juga menegur mereka dengan tegas:

“Tetapi Aku mencela engkau, kerana engkau telah meninggalkan kasihmu yang semula.”

Ini membuktikan bahawa seseorang boleh saja aktif dalam pelayanan, tetapi jika telah kehilangan kasih yang sejati kepada Kristus. Seseorang itu masih melayani dengan tangan, tetapi hatinya tidak lagi melekat kepada Tuhan. Maka pelayanan bukan jaminan yang kuat, ia hanya menjadi tanda kasih jika dilakukan dengan iman dan kasih.

3. Bukan Tenaga Kita, Tetapi Hati Kita

Tuhan tidak mencari pekerja semata-mata. Dia mencari anak-anak yang melayani kerana kasih, bukan kerana kepentingan peribadi. Dalam Lukas 10:38-42, kita melihat kisah Marta dan Maria. Marta sibuk melayani, Maria duduk di kaki Yesus. Marta memang melayani untuk Tuhan, tetapi Yesus menilai dengan cara yang berbeza. Dia berkata bahawa Maria telah memilih bahagian yang terbaik. Pelayanan memang boleh menjadi saluran berkat, tetapi jika dilakukan tanpa keintiman dengan Tuhan, ia boleh menjadi beban secara rohani. Tidak semua yang sibuk dengan hal-hal Rohani benar-benar dekat dengan Tuhan. Malah kadangkala, orang yang paling sibuk di gereja boleh jadi orang yang paling kering secara rohani dan lebih menyedihkan mereka sama sekali tidak pernah menyedarinya.

Kesimpulan

Tuhan tidak mahu pelayanan yang dibangun diatas keletihan, tetapi pelayanan yang lahir daripada persekutuan dengan-Nya. Tuhan tidak memerlukan tangan yang rajin, tetapi hati yang benar-benar mengasihi Dia, kerana jika kita memiliki kasih yang benar maka kerajinan akan datang sendiri. Tuhan rindu para pelayan-pelayan supaya hidup dalam doa, Firman, kesetiaan dan kasih, bukan sekadar hidup luaran yang sangat baik atau jawatan dalam struktur pelayanan yang membuat orang bertepuk tangan.

Kerana di akhir hidup, Tuhan tidak akan bertanya:

“Berapa banyak program yang kamu pimpin?” 

Tetapi Dia akan bertanya:  

“Adakah Aku mengenal engkau?”

Comments

Popular posts from this blog

EVALUASI CRITICAL TERHADAP PELAKSANAAN KONFERENSI PMM

UNDUK NGADAU (HUMINODUN), PANDANGAN DAN SIKAP KRISTIAN

GEMBALA DAN MAJLIS GEREJA SALING MENGGIGIT?