TIDAK MENONJOL, TETAPI DIPAKAI TUHAN
Rev. Fazli Samil (SRPCAA)
Gambar Kiasan
Teks
Kisah Para Rasul 1:15-26 (TB) (15) Pada hari-hari itu berdirilah Petrus di tengah-tengah saudara-saudara yang sedang berkumpul itu, kira-kira seratus dua puluh orang banyaknya, lalu berkata: (16) "Hai saudara-saudara, haruslah genap nas Kitab Suci, yang disampaikan Roh Kudus dengan perantaraan Daud tentang Yudas, pemimpin orang-orang yang menangkap Yesus itu. (17) Dahulu ia termasuk bilangan kami dan mengambil bagian di dalam pelayanan ini." (18) — Yudas ini telah membeli sebidang tanah dengan upah kejahatannya, lalu ia jatuh tertelungkup, dan perutnya terbelah sehingga semua isi perutnya tertumpah ke luar. (19) Hal itu diketahui oleh semua penduduk Yerusalem, sehingga tanah itu mereka sebut dalam bahasa mereka sendiri "Hakal-Dama", artinya Tanah Darah —. (20) "Sebab ada tertulis dalam kitab Mazmur: Biarlah perkemahannya menjadi sunyi, dan biarlah tidak ada penghuni di dalamnya: dan: Biarlah jabatannya diambil orang lain. (21) Jadi harus ditambahkan kepada kami seorang dari mereka yang senantiasa datang berkumpul dengan kami selama Tuhan Yesus bersama-sama dengan kami, (22) yaitu mulai dari baptisan Yohanes sampai hari Yesus terangkat ke sorga meninggalkan kami, untuk menjadi saksi dengan kami tentang kebangkitan-Nya." (23) Lalu mereka mengusulkan dua orang: Yusuf yang disebut Barsabas dan yang juga bernama Yustus, dan Matias. (24) Mereka semua berdoa dan berkata: "Ya Tuhan, Engkaulah yang mengenal hati semua orang, tunjukkanlah kiranya siapa yang Engkau pilih dari kedua orang ini, (25) untuk menerima jabatan pelayanan, yaitu kerasulan yang ditinggalkan Yudas yang telah jatuh ke tempat yang wajar baginya."(26) Lalu mereka membuang undi bagi kedua orang itu dan yang kena undi adalah Matias dan dengan demikian ia ditambahkan kepada bilangan kesebelas rasul itu.
Dalam Kisah Para Rasul 1, kita melihat jemaat mula-mula berada dalam fasa peralihan. Kristus telah naik ke syurga, dan mereka diperintahkan untuk menantikan penggenapan janji pencurahan Roh Kudus. Namun, sebelum hari Pentakosta tiba, terdapat satu perkara penting yang harus mereka selesaikan, iaitu memilih pengganti Yudas Iskariot. Mengapa hal ini penting? Kerana pelayanan kerasulan mesti berjumlah dua belas orang, ini melambangkan kesempurnaan umat perjanjian yang baharu, sebagaimana dua belas suku Israel melambangkan umat perjanjian lama. Beberapa point dapat kita pelajari, telusuri dan renungkan:
1. Allah Berdaulat Dalam Menetapkan Rasul-Nya
“Ya Tuhan, Engkaulah yang mengenal hati semua orang, tunjukkanlah siapa yang Engkau pilih daripada kedua orang ini...” (ayat 24)
Ini menekankan bahawa Allah berdaulat mutlak, Dia memerintah dengan penuh hikmat dalam segala perkara, termasuk siapa yang akan dipilih dan dipakai untuk pelayanan-Nya. Gereja mula-mula tidak bergantung kepada diplomasi atau populariti, tetapi bersandar sepenuhnya kepada pemilihan Allah, yang telah ditetapkan sejak kekekalan.
Maka, pelayanan yang sejati tidak bergantung kepada pencapaian manusia, tetapi berasal daripada panggilan ilahi yang tertanam dalam decreta Dei (ketetapan kekal Allah). Kita tidak dipanggil kerana layak, tetapi kerana Dia berkenan memakai kita menurut kehendak-Nya.
2. Allah Membina Gereja-Nya Melalui Firman
“Haruslah genap nas yang telah disampaikan oleh Roh Kudus dengan perantaraan Daud...” (ayat 16)
Petrus berdiri di tengah persekutuan dan mengutip Mazmur untuk menjelaskan bahawa kejatuhan Yudas telah dinubuatkan dalam Kitab Suci. Ini menggambarkan prinsip sola Scriptura, bahawa seluruh kehidupan dan pembangunan gereja mesti tunduk kepada otoriti Firman Tuhan. Pengantian jawatan kerasulan bukanlah hasil dari rancangan manusia, tetapi berdasarkan Firman Allah.
Jadi, Gereja bukanlah institusi ciptaan manusia, tetapi gereja adalah tubuh Kristus yang dibangun di atas dasar para rasul dan nabi (Ef. 2:20). Maka dalam semua hal, termasuk kepimpinan, pelayanan, dan keputusan-keputusan rohani, harus kembali kepada otoriti mutlak Kitab Suci.
3. Kesetiaan Dalam Pelayanan: Tidak Menonjol Tapi Dinilai Oleh Allah
“...seorang daripada mereka yang senantiasa menyertai kami...” (ayat 21)
Matias adalah contoh yang tidak menonjol di mata manusia, tetapi hidupnya penuh kesetiaan sejak awal pelayanan Kristus hingga kenaikan-Nya. Dia tidak disebut dalam Injil, tidak terkenal, tetapi ditetapkan oleh Tuhan untuk menjadi sebahagian daripada kelompok rasul yang penting.
Ini seiring dengan ajaran reformed tentang panggilan hidup, di mana setiap orang percaya mempunyai tempat dan tanggungjawab dalam tubuh Kristus, sama ada kelihatan mahupun tidak kelihatan.
Maka dengan itu, tiada pelayanan yang dianggap kecil jika dilakukan dengan taat dan setia kepada Tuhan. Bahkan mereka yang tidak dikenalpun boleh menjadi alat penting dalam rencana penyelamatan Allah, kerana Allah tidak memerlukan pentas luaran, tetapi Dia mencari hati yang setia.
4. Gereja Yang Hidup Bergantung Sepenuh kepada Tuhan
Pemilihan Matias diakhiri dengan doa dan pembacaan undi. Ini satu cara Perjanjian Lama untuk menyatakan kehendak Tuhan (Imamat 16:8). Ini bukan tindakan yang bersifat spekulatif, tetapi lambang dari ketundukan dan kebergantungan penuh kepada pimpinan ilahi, khususnya dalam konteks sebelum Roh Kudus dicurahkan.
Ini menunjukkan bahawa gereja yang sejati tidak bergantung pada kebijaksanaan manusia semata-mata, tetapi sepenuhnya bersandar kepada penyataan dan karya Allah melalui Firman dan pimpinan Roh Kudus.
Jadi, Gereja bukanlah tempat berteka-teki, tempat dimana kita melakukan apa saja secara bebas, tetapi satu komuniti yang tunduk sepenuhnya kepada kehendak Tuhan. Segala sesuatu harus dilandaskan pada doa, Firman, dan kepercayaan bahawa hanya Tuhan yang mengenal hati manusia.
***Kita tidak perlu dikenali oleh dunia, asalkan kita dikenali oleh Tuhan. Bukan siapa kita di mata manusia, tetapi siapa kita di dalam Kristus yang menentukan nilai kita.***
Soli Deo Gloria !
Comments
Post a Comment