PROSES PENGUDUSAN DALAM KEHIDUPAN SETIAP HARI

Penulis: Rev. Fazli Samil

Gambar Kiasan

Pendahuluan

Iman yang sejati harus membawa perubahan hidup yang nyata, bukan hanya ketika kita berdoa di gereja pada hari Ahad, tetapi dalam setiap sudut kehidupan kita: di rumah, di tempat kerja, di sekolah, bahkan ketika tiada siapapun yang melihat. Pengudusan adalah proses terus-menerus di mana Roh Kudus mengikis kerak dosa yang melekat pada dinding hati kita, dan hal ini tidak berlaku secara ajaib dalam satu malam, tetapi di tengah-tengah drama kehidupan harian yang nyata. Ketika kita bertarung dengan ego sendiri, menghadapi godaan dunia, berhadapan kerenah orang lain, dan bergumul. Di sinilah kita tahu, adakah iman kita sekadar kata-kata, atau benar-benar iman yang hidup.

Isi

Pertama, pengudusan di rumah, bersama orang terdekat. Kita boleh kelihatan kudus di gereja, tetapi di rumah, adakah kita mampu menahan lidah ketika kita sedang marah? Adakah kita sanggup mengampuni keluarga yang menyakiti kita? Pengudusan mengajar kita bahawa kesalehan bukan diukur daripada panjangnya doa kita, tetapi daripada kedalaman kasih dan kerendahan hati kepada mereka yang dekat dengan kita (Keluarga).

Kedua, pengudusan membentuk integriti kita di tempat kerja. Dunia sering berteriak “Kalau semua orang menipu, kita ikut saja.” Tetapi orang percaya tahu bahawa kerja bukan sekadar cari gaji, tetapi ibadah kepada Tuhan (Kolose 3:23). Ketika orang lain menipu untuk naik pangkat, kita diajar memilih untuk jujur walaupun nampak rugi. Ketika diperlakukan tidak adil, kita diajar bersabar, bukan kerana kita ini lemah, tetapi kerana kita diarahkan oleh Roh Kudus untuk hidup benar.

Ketiga, pengudusan berlaku dalam peperangan rohani. Musuh yang paling sukar dilawan bukan dari luar, tetapi diri dalam (diri sendiri) — hawa nafsu, amarah, kesombongan, ketagihan dsb.. yang kita simpan senyap-senyap. Ada pula yang berkata, “Saya cuma manusia biasa,” seolah-olah itu lesen untuk terus tenggelam dalam dosa. Tetapi pengudusan menolak alasan itu. Roh Kudus menuntun kita mematikan dosa, dan menggantikan waktu kita yang dulu terbuang supaya tekun dalam doa, Firman, dan pelayanan. Bahkan ketika kita disakiti, kita diajar mendoakan mereka yang menyakiti kita (Matius 5:44), inilah ujian yang membezakan mereka yang sekadar beragama dan mereka yang benar-benar mengikut Kristus.

Keempat, pengudusan di dalam gereja. Ramai yang kelihatan suci di luar, tetapi ketika diuji dengan sikap orang lain dalam persekutuan, mereka nampaknya lemah. Di sinilah Roh Kudus melatih kita menanggung kelemahan sesama (Roma 15:1), melayani tanpa mengharapkan pujian, dan belajar bahawa “kerendahan hati” bukan sekadar teori khutbah, tetapi latihan, dan tentu saja oleh pertolongan Roh Kudus. Gereja bukan 'hotel orang suci', tetapi sebuah 'bengkel Tuhan' untuk melembutkan hati yang keras.

Kelima, pengudusan membentuk sikap hati kita setiap hari. Orang yang dikuduskan belajar bersyukur walaupun hidup penuh cabaran (1 Tesalonika 5:18), belajar berserah kepada Tuhan, dan membiarkan Roh Kudus mengerjakan buah Roh (Galatia 5:22–23) kasih, sukacita, damai, kesabaran, kelembutan, penguasaan diri dsb. Semua ini bukan kerana kekuatan kita, tetapi kerana Roh Kudus bekerja di dalam kita.

Kesimpulan

Pengudusan bukan sekadar teori manis dalam kelas Alkitab. Ia adalah perjalanan setiap hari yang penuh air mata, luka, dan pengorbanan, tetapi di situlah bukti bahawa Injil benar-benar berkuasa mengubah hidup. Roh Kudus bekerja melalui Firman, doa, persekutuan, dan setiap situasi, untuk mematikan dosa dan menanamkan karakter Kristus dalam diri kita. Proses ini mungkin lambat dan terasa sungguh amat berat, tetapi janji Tuhan pasti: Dia yang memulakan pekerjaan yang baik dalam kita akan menyempurnakannya juga (Filipi 1:6). Maka, jika hidup kita masih sama seperti dahulu, kita patut bertanya: Adakah Injil yang kita dengar dan pegang benar-benar hidup? Atau hanya sekadar hiasan kata-kata di bibir saja?

Comments

Popular posts from this blog

EVALUASI CRITICAL TERHADAP PELAKSANAAN KONFERENSI PMM

UNDUK NGADAU (HUMINODUN), PANDANGAN DAN SIKAP KRISTIAN

GEMBALA DAN MAJLIS GEREJA SALING MENGGIGIT?