PANDANGAN REFORMED DAN PANDANGAN KATOLIK ROMA TENTANG PERBUATAN BAIK DALAM KESELAMATAN
Penulis: Elka Elyna F.
Pendahuluan
Isu perbuatan baik merupakan salah satu titik perbezaan paling penting antara Gereja Katolik Roma dan tradisi Reformed. Dua dokumen utama yang mewakili pandangan rasmi kedua-dua pihak dalam era pasca-Reformasi ialah Konsili Trento (1545 - 1563) dan Pengakuan Iman Westminster (1646). Kedua-duanya memberi penekanan kepada kepentingan perbuatan baik, namun kerangka teologinya adalah sangat berbeza.
Pandangan Katolik Roma berdasarkan Persidangan Konsili Trento / Trente
Konsili Trento merupakan persidangan majlis gereja Katolik Roma yang dilakukan sekitar tahun 1545-1563, sebagai reaksi balas kepada gerakan Reformasi Protestan. Dalam konsili ini, ditegaskan bahawa perbuatan baik merupakan hal yang penting dalam proses pembenaran yang dikaitkan dengan keselamatan. Konsili ini menegaskan bahawa seseorang diselamatkan bukan sahaja kerana iman, tetapi juga oleh tindakan kasih yang diekspresikan melalui perbuatan baik. Konsili Trento menolak doktrin sola fide yang dipegang oleh kristian Reformasi dan menyatakan bahawa pembenaran boleh hilang sekiranya melakukan dosa berat (mortal sin). Walaubagaimanapun, pembenaran ini dapat diperoleh semula melalui sakramen pengakuan (confession) - dalam erti kata lain, pertobatan - dan kehidupan yang berbuah dalam perbuatan baik. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa perbuatan baik merupakan salah satu usaha untuk mendapatkan keselamatan. Tambahan lagi, Konsili Trento juga menggariskan konsep merit yang mana setiap perbuatan baik yang dilakukan dengan kasih akan memberikan pahala rohani (merit) yang akan diganjarkan oleh Allah, khususnya dalam kehidupan kekal di syurga.
Pengakuan Iman Westminster: Perbuatan Baik ialah Buah, Bukan Dasar Keselamatan
Dalam Pengakuan Iman Westminster (PIW), dijelaskan bahawa perbuatan baik adalah hasil dari iman yang sejati dan sama sekali tidak menyumbang kepada pembenaran. Dalam bab ke-15, pengakuan ini menegaskan bahawa sesungguhnya, perbuatan baik tidak dapat menjadi asas keselamatan tetapi adalah bukti dari buah iman yang hidup dan sejati. Kemampuan orang percaya untuk melakukan tindakan kebaikan sama sekali tidak timbul dari kekuatan sendiri tetapi hanya kerana pertolongan dari Roh Kudus. Seperti ada tertulis dalam Roma 3:10–12:
“Tidak ada yang benar, seorang pun tidak. Tidak ada yang berakal budi, tidak ada yang mencari Allah. Semua orang telah menyeleweng, mereka semua tidak berguna. Tidak ada yang berbuat baik, seorang pun tidak.”
Berbeza dengan pandangan Katolik Roma, teologi Reformasi juga menegaskan bahawa keselamatan sepenuhnya berdasarkan anugerah Allah tanpa merit dari perbuatan. Pandangan ini sejalan dengan slogan Reformasi yakni sola fide yang menekankan bahawa keselamatan adalah anugerah Allah yang diterima melalui iman sahaja tanpa campur tangan manusia sebagaimana ditegaskan dalam Efesus 2: 8-10. Hal ini jelas kerana kesalehan kita, semuanya itu hanyalah ‘kain kotor’ di hadapan Allah yang mahakudus (Yesaya 64:4). Justeru, perbuatan baik tidak menentukan keselamatan orang percaya; namun, setiap orang percaya yang telah diselamatkan pasti akan menghasilkan perbuatan baik.
Kesimpulan
Kedua-dua pandangan Kristian Katolik Roma dan pandangan Kristian Reformasi mengakui kepentingan perbuatan baik namun mereka berbeza secara prinsip dalam menentukan peranannya. Konsili Trento melihat perbuatan baik sebagai syarat yang menyumbang kepada pembenaran dan keselamatan akhir manakala Pengakuan Iman Westminster yang dipegang tradisi Reformed menekankan bahawa perbuatan baik itu adalah produk dari hasil iman yang menyelamatkan, bukan asas untuk memperoleh kasih anugerah Tuhan.
Comments
Post a Comment