PERBUATAN BAIK TIDAK MENYELAMATKAN TETAPI PENTING BAGI ORANG PERCAYA

Penulis: Esther Lonnie Baking


Mengapa perbuatan baik tidak boleh menjadi asas keselamatan, tetapi penting dalam kehidupan orang percaya?

Perbuatan baik sahaja sememangnya tidak boleh menjadi asas keselamatan kerana keselamatan itu adalah oleh kasih karunia semata-mata (sola gratia), iaitu melalui iman (sola fide) yang berpegang kepada prinsip bahawa manusia diselamatkan hanya kerana oleh kasih karunia Allah, dan bukanlah dari usaha atau jasa manusia (Ruj. alkitab: Efesus 2:8-9 "Sebab karena kasih karunia kamu diselamatkan oleh iman; itu bukan hasil usahamu, tetapi pemberian Allah. Itu bukan hasil pekerjaanmu: jangan ada orang yang memegahkan diri."). Manusia yang telah jatuh ke dalam dosa tidak mampu menyelamatkan dirinya sendiri. Bahkan perbuatan baik manusia yang dianggap paling tulus atau luhur sekalipun tidak dapat menebus dosa di hadapan Allah yang kudus. Oleh itu, satu-satunya asas keselamatan adalah karya penebusan Yesus Kristus di kayu salib.

Perbuatan baik tidak boleh menebus dosa manusia. Akibat daripada kejatuhan Adam, semua manusia telah mewarisi dosa asal dan bersalah di hadapan Allah. Justru, perbuatan baik tidak dapat membatalkan dosa atau menyucikan hati yang berdosa (Ruj. alkitab: Yesaya 64:6 "Segala kesalehan kita seperti kain kotor."). Walaupun perbuatan baik kelihatan mulia di mata manusia, namun di hadapan Allah yang sempurna dan suci, ia tetap tidak mencukupi untuk mencapai standard kekudusan-Nya.

Walau bagaimanapun, perbuatan baik tetap penting dalam kehidupan orang percaya kerana walaupun ianya bukanlah asas keselamtan, perbuatan baik merupakan buah daripada keselamatan sejati. Dalam ajaran Reformed, hal ini disebut sebagai “sanctification” atau pengudusan iaitu satu proses di mana orang percaya diubah menjadi serupa dengan Kristus setelah diselematkan. Perbuatan baik oleh orang percaya merupakan bukti iman yang hidup dan sejati (Ruj.alkitab: Yakobus 2:17 "Demikian juga halnya dengan iman: Jika iman itu tidak disertai perbuatan, maka iman itu pada hakikatnya adalah mati") Iman yang sejati akan menghasilkan perubahan hidup dan perbuatan baik sebagai bukti nyata bahawa seseorang telah lahir baru dalam Kristus.

Selain itu perbuatan baik pada orang percaya juga penting untuk memuliakan Allah. Tujuan utama perbuatan baik bukanlah untuk menyelamatkan atau menebus diri kita daripada dosa-dosa yang telah kita lakukan, tetapi untuk memuliakan Allah dan menjadi saksi kepada dunia (Ruj.alkitab: Matius 5:16 "Demikianlah hendaknya terangmu bercahaya di depan orang, supaya mereka melihat perbuatanmu yang baik dan memuliakan Bapamu yang di sorga."). Dalam masa yang sama, kita juga menyatakan ketaatan dan kasih kepada Kristus (Ruj.Alkitab: Yohanes 14:15 "Jikalau kamu mengasihi Aku, kamu akan menuruti segala perintah-Ku"). Orang yang benarbenar percaya kepada Kristus akan terdorong oleh kasih untuk hidup menurut perintah-Nya. Perbuatan baik lahir daripada hati yang telah diubahkan oleh Roh Kudus.

Kesimpulannya, perbuatan baik bukanlah penyebab kepada keselamatan, tetapi adalah akibat daripada keselamatan. Keselamatan datang dari kasih karunia (Anugerah) Tuhan melalui iman, bukan usaha manusia. Perbuatan baik adalah tanda kehidupan baru dalam Kristus, dan bukti pertumbuhan dalam kekudusan. Oleh itu, orang percaya tidak berbuat baik untuk diselamatkan, tetapi kerana mereka telah diselamatkan.

Comments

Popular posts from this blog

EVALUASI CRITICAL TERHADAP PELAKSANAAN KONFERENSI PMM

UNDUK NGADAU (HUMINODUN), PANDANGAN DAN SIKAP KRISTIAN

GEMBALA DAN MAJLIS GEREJA SALING MENGGIGIT?