REFLEKSI PRAKTIKAL: 5 PERBUATAN BAIK YANG BOLEH DILAKUKAN DALAM MINGGU INI SESUAI KEHENDAK TUHAN
Penulis: Bellen S. Fred
Pemahaman tentang perbuatan baik yang seringkali dikotbahkan dalam gereja masa kini, selalu berkait rapat dengan berkat. “Buatlah perkara yang baik kepada orang lain, agar Tuhan memberkatimu”, frasa seperti ini menjadi salah sekiranya tiada dasar pemahaman yang betul. Perbuatan baik boleh kelihatan seperti moralistik atau nilai murni kehidupan yang seseorang perlu hidupi, namun definisi ‘baik’ hanya dapat dilihat baik oleh yang menciptakan kebaikan (Kejadian 1). Dalam arti kata lain, apa yang kelihatan baik di mata manusia tidak semestinya baik di mata Tuhan. Maka, adalah penting untuk memahami siapa Tuhan ini untuk melakukan perbuatan baik.
Bagi saya, topik ini mendorong saya untuk membuat refleksi diri. Seorang yang percaya kepada Tuhan akan melakukan perbuatan baik kerana Yesus sudah menyelamatkannya, dan bukan sebaliknya, seperti yang difahami oleh kebanyakan orang. Perbuatan baik ini merupakan buah-buah dan bukti dari iman percaya kepada Yesus. Perbuatan yang boleh saya lakukan sekaligus memberi teguran untuk saya mengakui dosa dan bertobat adalah seperti berikut: Berkata benar dalam merawat pesakit. Ketika merawat pesakit, saya ada kuasa untuk menentukan rawatan dan cas rawatan terhadap pesakit. Godaan seperti mengenakan cas rawatan yang tinggi kadang timbul dalam fikiran untuk saya lakukan supaya saya boleh mendapatkan komisen yang lebih tinggi. Tetapi apabila saya ditegur dengan pemahaman Firman yang sudah diajarkan, saya akan merefleksikannya. Di tempat kerja juga , saya cenderung untuk menaikkan suara kepada teman sekerja sekiranya pekerjaan mereka lambat dan tidak memuaskan , atau cenderung untuk mengatakan hal yang tidak baik tentang sesama pekerja, ‘ber-gossip’. Perbuatan seperti ini sama sekali tidak menunjukkan saya seorang Kristian, dan tidak ada bezanya dengan orang lain yang bukan Kristian. Saya sangat ditegur sebagai orang Kristian yang harusnya berkelakuan berbeza dengan dunia ini. Di rumah pula, saya berusaha untuk menyediakan jadual main dan makanan terbaik bagi anak saya, ini sangat kelihatan baik bagi seorang ibu yang bertanggungjawab. Namun, perbuatan baik boleh kelihatan hanya sebagai nilai - dan ini salah- sebaliknya, sebagai seorang ibu, saya perlu lihat anak saya ini sebagai anak yang Tuhan berikan. Maka dengan itu, saya perlu mengatur hidupnya supaya dia dapat bertumbuh baik secara fizikal dan kognitif untuk mengenal siapa Pencipta. Untuk sesama saudara saudari dalam Kristus pula, perbuatan baik boleh dipraktikkan melalui bertanyakan khabar agar dapat mengenali satu sama yang lain dengan lebih mendalam, saling mendoakan dan membangun dalam firman-Nya.
Terdapat banyak lagi perbuatan baik yang boleh dilakukan, tetapi hal ini akan menjadi sia-sia sekiranya motivasi dan dasar yang salah. Motivasi saya dalam kehidupan untuk berusaha berbuat baik adalah kerana Allah sudah menunjukkan kasih karuniaNya melalui penyaliban Yesus. Dengan itu, saya pasti berbuat baik sekiranya saya memang seorang yang milik Tuhan kerana jelas bahwa dalam Efesus 2.10 Allah telah persiapkan orang pilihannya untuk melakukan perbuatan baik.
Rujukan : Efesus 2.8-10, 1 Tim 4, Roma 12, Roma 8
Comments
Post a Comment